Manfaatkan penubuhan Persatuan Pengguna Limbang, elak penipuan Oleh Mastura Ismail

0

KENANGAN BERSAMA: Lau (kiri) menyerahkan cenderahati kepada Presiden Kebangsaan PPPM, Datuk Mohd Firdaus Abdullah (dua kiri) sambil disaksikan yang lain selepas penubuhan PPPM Limbang baru-baru ini.

LIMBANG: Para pengguna di daerah ini perlu memanfaatkan sebaiknya penubuhan Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM) Cawangan Limbang dalam memperjuangkan kebajikan dan hak sebenar mereka sekali gus mengelak berlakunya penindasan ke atas mereka.

Pengerusi PPPM Limbang, Datuk Lau See Mien berkata persatuan itu akan membantu memperjuangkan hak dalam melahirkan pengguna yang bijak, bermaklumat, proaktif dan bertanggungjawab.

PPPM menurutnya akan melindungi hak pengguna tanpa mengira kaum, agama, bahasa, budaya, keturunan, latar belakang dan fahaman politik.

“Pengguna kini mempunyai saluran tepat untuk mendapatkan maklumat, dan menyuarakan pendapat agar hak pengguna sentiasa dipelihara melalui penubuhan PPPM di bahagian ini,”katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Beliau membe r i t ahu PPPM cawangan Limbang yang ditubuhkan pada 12 Mac lalu merupakan satu organisasi yang menguatkuasakan undang-undang dan akta-akta.

“Kita akan memantau dan memastikan orang ramai mematuhi undang-undang dan akta tanpa mengira agensi kerajaan dan swasta dari semasa ke semasa. Ini jelas menunjukkan PPPM berperanan penting dalam memperjuangkan hak pengguna dari sebarang bentuk penindasan,” katanya.

Lau menambah persatuan itu akan memainkan peranan sebagai wakil pengguna untuk berunding dan bersuara kepada agensi swasta dan kerajaan bagi mengembangkan tahap etika yang dipraktikkan.

“Pada masa sama ia akan turut menggalakkan penggunaan lestari demi mewujudkan satu masyarakat yang harmoni dan sejahtera dalam merealisasikan konsep 1Malaysia,”ujarnya.

Menyentuh lanjut mengenai peranan PPPM, beliau menjelaskan persatuan itu memberikan pengetahuan dan maklumat kepenggunaan demi menyedarkan pengguna tentang hak mereka sebagai pengguna sejajar dengan misi PPPM sendiri.

“Objektif utama kita agar pengguna memahami hak mereka sebagai pengguna, melahirkan pengguna yang bijak dan menyedarkan pengguna tentang sumbangan positif untuk masyarakat dan negara. Katanya lagi sebagai pengguna mereka perlu memahami lapan hak mereka termasuk untuk mendapatkan maklumat, pilihan, ganti rugi, pendidikan pengguna, keselamatan, hak menyuarakan pendapat dan hidup dalam sekitar yang bersih.

Beliau menambah selain Pengerusi , Timbalan Pengerusi PPPM Limbang dipegang oleh Dato Wong Yuk Kien,Naib Pengerusi pula dipegang oleh Dato Tiong Wei Huat, Setiausaha diterajui oleh Chew Yok Eng, Aik Aui Cheong sebagai Penolong Setiausaha, Dato Lee Ching Siong sebagai Bendahari dan Penolong Bendahari pula dipegang oleh Dato Wong Yuk Tiu.

Manakala Wong Ku Tong, Then Poh Chu, Tie Sing Piew, Su Teng Eng dan Jong Chee Loong dilantik sebagai ahli jawatankuasa tertinggi persatuan itu.