Pembangunan Miri dibina hasil persepakatan

0

Wakil rakyatnya bagaikan sebuah keluarga yang bersatu merancang untuk mencapai kemajuan

MIRI: Perubahan wajah Miri adalah hasil kerjasama dan juga sumbangan daripada semua wakil rakyat yang bertindak seperti sebuah keluarga.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam berkata bahawa melalui perasaan pertalian seperti itu, bandar raya ini kini telah dikenali sebagai pusat perdagangan, ekonomi dan pelancongan penting di wilayah utara Sarawak.

“Miri kini sudah banyak berubah di mana dahulunya hanya dikenali sebagai sebuah perkampungan nelayan kecil sahaja,” kata Dr Chan dalam Majlis Sepetang Bersama Ketua Menteri Sarawak bertempat di Dewan Suarah Miri, petang semalam.

Katanya, Miri yang telah diberikan status bandar raya pada 20 Mei 2005 telah membawa kebanggaan khususnya terhadap penduduk di kawasan ini.

Ini menurutnya turut membuktikan keupayaan pemimpin yang memainkan peranan penting dalam mentadbir urus segala sumber dan juga perancangan di Miri dengan baik dan teratur.

“Saya mewakili penduduk di Miri sangat berterima kasih terhadap Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud kerana di bawah tampuk pimpinan beliau kita dapat mencapai kemajuan seperti yang dilihat sekarang,” kata beliau.

Dr Chan yang juga merupakan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menjelaskan bahawa panduan yang diberikan oleh Taib turut memberikan inspirasi kepada beliau tentang kerjasama sebagai sebuah pasukan.

“Kita (wakil rakyat) di Miri ini sentiasa bekerja sebagai satu pasukan yang kita anggap sebagai ahli keluarga sendiri dan kita campak kritikan yang tidak membina,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut mengatakan bahawa pertengkaran atau memarahi antara satu sama lain adalah hanya membuang masa dan harus dielakkan sama sekali.

Turut hadir pada maljlis itu ialah Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui, Menteri Muda Komunikasi, Datuk Lee Kim Shin, Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang, penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut, Andy Chia, penyandang DUN Lambir, Aidan Wing dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri, Lawrence Lai.