Tiong kecewa dengan iklan rayu orang ramai pertahan Dr Soon

0

SIBU: Datuk Tiong Thai King melahirkan rasa kecewa dengan sebuah iklan yang merayu kepada orang ramai untuk mempertahankan Datuk Dr Soon Choon Teck sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong pada pilihan raya negeri akan datang.

Iklan tersebut yang disiarkan dalam sebuah akhbar berbahasa Cina, bersifat menyindir serta mahu Tiong bekerjasama rapat dengan Dr Soon untuk kebaikan bandar Sibu.

Salinan iklan tersebut telah dibuat dan diedarkan kepada penduduk di DUN Dudong.

Tiong yang juga Ahli Parlimen Lanang menyifatkan kenyatan tersebut bersifat hipokrit dan mereka yang membuatnya pasti mempunyai agenda tersendiri.

“Ini perbuatan yang amat dikesali memandangkan pilihan raya negeri akan datang,” ujarnya kepada pemberita, semalam. Hadir sama ialah Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh.

Menurut Tiong lagi, langkah itu tidak baik bagi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), lebih-lebih lagi Dudong sebelum ini telah berhadapan dengan pelbagai kontroversi.

Katanya, perbuatan itu hanya akan merosakkan lagi imej parti dan boleh menyebabkan perpecahan di kalangan penyokong SUPP.

Menurut Tiong lagi, beliau telah menjemput Dr Soon untuk berbincang secara peribadi berhubung idu Dudong pada pagi Rabu lepas.

Sementara menurut Wong, pendirian SUPP Sibu dalam isu Dudong adalah jelas serta lurus.

SUPP Sibu katanya, telah membuat keputusan bahawa sebarang pemilihan calon termasuk kerusi DUN Dudong akan diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.

“Kami akan mengikut apa juga keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti,” tambah beliau.