406,980 murid tahun 1 lulus saringan kebolehan numerasi tahun lepas: GTP

0

KUALA LUMPUR: Seramai 406,980 orang atau 91 peratus murid Tahun 1 pada 2010 lulus Saringan Akhir Literasi dan Numerasi (LINUS) mengatasi sasaran 90 peratus yang ditetapkan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan, yang dilancarkan April 2009.

Timbalan Perdana Mentari Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kira-kira 450,000 pelajar Tahun 1 di seluruh negara telah menjalani tiga saringan bagi kemahiran asas literasi (membaca) dan numerasi (mengira).

Bagaimanapun, pencapaian saringan untuk literasi mencatatkan 85 peratus atau 380,363 orang, iaitu kurang lima peratus daripada sasaran ditetapkan sebanyak 90 peratus.

Menurut Muhyiddin di dalam Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2010, LINUS dibentuk untuk meningkatkan piawaian asas pendidikan dalam negara bagi memastikan setiap kanak-kanak memperoleh pendidikan permulaan yang berkualiti tinggi.

“Ia boleh memberi peluang kepada kanak-kanak mendapat pendidikan awal selain peluang untuk celik huruf dan nombor sepenuhnya,” katanya.

Kerajaan juga telah melatih 15,500 orang guru LINUS untuk mengajar kelas pemulihan untuk pelajar yang mencatatkan prestasi kurang memuaskan selain menyedia fasilitator khusus atau FasiLINUS di setiap daerah bagi memantau, membantu dan menyokong guru-guru LINUS, kata Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran.

“Kerajaan menyasarkan 100 peratus murid Tahun 1 akan lulus program LINUS menjelang 2012.

Sementara itu, bagi pra-sekolah, NKRA itu turut mencapai sasaran apabila seramai 701,144 orang atau 72 peratus kanak-kanak berusia empat dan lima tahun mendapat pendidikan awal mengatasi sasaran yang ditetapkan iaitu 67 peratus.

Muhyiddin berkata pembukaan 1,500 kelas prasekolah oleh Kementerian Pelajaran, Jabatan Kebajikan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan sektor swasta membawa kepada kejayaan itu.

Kementerian Pelajaran bekerjasama dengan KEMAS dan JPNIN yang mengusahakan prasekolah di seluruh negara bagi memastikan kualiti, struktur yuran dan bantuan makanan dapat diseragamkan di seluruh negara, katanya.

“Bantuan yuran juga diberikan kepada 24,179 kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah yang mengikuti pelajaran di prasekolah swasta dengan yuran kurang RM150 sebulan.

“Kerajaan juga menjalinkan kerjasama dengan kolej latihan perguruan swasta untuk meningkatkan kemahiran kira-kira 7,000 guru prasekolah swasta untuk meningkatkan kualiti guru secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata empat kelas prasekolah baru juga dibuka di rumah panjang di Sri Aman, Sarawak dan lima kelas prasekolah dibuka di pusat komuniti di Sabah.

“Ini adalah komitmen kerajaan untuk memberi pendidikan awal kepada kanak-kanak yang berada di kawasan yang amat terpencil di Kepulauan Borneo itu,” kata Muhyiddin.

Menurut beliau, pembukaan 1,500 kelas prasekolah baru pada 2010 juga mengatasi sasaran kerajaan untuk membuka hanya 1,353 kelas. — Bernama