Bukan saluran lepas emosi

0

LIMBANG: Rakyat diingatkan agar tidak menjadikan pilihan raya pada 16 April depan sebagai saluran untuk melepaskan emosi dan sakit hati sehingga menggadai masa depan mereka.

Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata pilihan raya merupakan satu proses bagi rakyat untuk membentuk sebuah kerajaan dan negara.

Menurutnya lagi ia bukan saja melibatkan soal calon yang dipertandingkan sebaliknya usaha ke arah meneruskan kesinambungan kepimpinan negara yang perlu diberi keutamaan secara serius.

“Jangan kerana perasaan sakit hati dan ketidakpuasan, kita melakukan kesilapan besar dengan memilih pemimpin yang salah.

Pilihan raya adalah proses untuk kita membentuk kerajaan dan negara dalam meneruskan hala tuju dan masa depan negara,” katanya.

Beliau menjelaskan perkara itu pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Program Jiwa Murni Kerajaan Negeri serta Pelancaran Bekalan Elektrik Luar Bandar di Rumah Aling Pulau Brunei Medamit kelmarin.

Turut hadir ialah penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Pegawai Penerangan Bahagian Azlan Charles Abdullah dan Penyelia Kanan KEMAS Asmah Yassin.

Hasbi juga mahu penduduk di kawasan berkenaan bijak memilih pemimpin yang berwibawa iaitu iaitu daripada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya nanti.

“Perjalanan kita masih jauh. Ibarat sebuah perahu, walaupun perahu tersebut bocor sedikit kita jangan bertindak menenggelamkannya. Ini kerana perahu tersebut boleh diperbaiki dan ditampal untuk meneruskan pelayaran,” katanya.

Beliau menjelaskan kerajaan BN juga bukan kerajaan yang sempurna kerana masih banyak lagi perkara dan program yang perlu dilaksanakan mengikut masa dan perancangan teliti.

“Jangan kerana emosi dan tidak puas hati kita terus membuat keputusan yang salah. Rakyat perlu menutup cerita lama dan buka lembaran baru untuk masa depan generasi yang ada sekarang.

“Masa depan negara bukannya terhasil secara kebetulan tetapi terbentuk daripada tindakan yang dilakukan oleh rakyat hari ini. “Perjuangan kita (kerajaan) masih belum selesai.

Kerajaan akan meneruskan perjuangan dan pembangunan melalui peruntukan untuk menyediakan pelbagai prasarana demi keselesaan rakyat,” jelasnya.

Katanya, pelbagai tuduhan akan terus dilemparkan kepada kerajaan terutama menjelang pilihan raya ini. Beliau mahu rakyat tidak mudah terperdaya dengan taktik dan budaya kotor pembangkang.

Sebalikknya katanya mereka harus berdiri teguh di belakang kerajaan. “Pastikan kita tidak terperangkap dengan segala fitnah dan hasutan yang dilemparkan oleh kumpulan yang berkepentingan.

“Mereka tidak akan berhenti untuk menjaja cerita buruk mengenai kerajaan dan menidakkan segala usaha kerajaan selama ini,” katanya.

Beliau menambah, pelbagai pembangunan yang dinikmati rakyat selama ini adalah bukti keprihatinan kerajaan dalam memperjuangkan keperluan penduduk terutama di kawasan pedalaman.

Segala pembangunan ujarnya, akan dijalankan secara berperingkat termasuk kemudahan asas seperti jalan raya, elektrik dengan mengambil kira faktor geografi penduduk yang mendiami kawasan luar bandar.

“Kerajaan sentiasa berusaha menunaikan segala janji kepada rakyat berbanding pembangkang yang gemar menabur janji manis untuk memenuhi kepentingan dan agenda politik mereka.

Pada majlis sama beliau turut mengumumkan peruntukan kerajaan berjumlah RM20,000 bagi pembinaan gereja kepada Rumah Tan dan Rumah Assan di kawasan berkenaan serta pelbagai peruntukan lain.