Jangan anggap institusi latihan bermartabat rendah

0

SEBAGAI KENANGAN: Lee (empat kanan) menyampaikan cenderahati kepada Ramli sambil disaksikan yang lain.

MIRI: Jangan beranggapan institusi latihan sebagai sebuah pusat pendidikan yang bermartabat rendah, kata Menteri Muda Komunikasi Datuk Lee Kim Shin.

Beliau berkata institusi latihan yang ditubuhkan oleh kerajaan merupakan institusi yang diiktiraf dan pelajarnya mempunyai masa depan dan kehidupan cerah di samping jaminan kerjaya yang menepati keperluan pasaran.

“Masyarakat selalu anggap institusi latihan yang ada di sini adalah institusi yang bermartabat rendah.

Tetapi sebenarnya, ia (institusi latihan) bukanlah seperti yang dijangka kerana institusi-institusi ini juga diiktirafkan dan sijilnya bernilai,” jelas Lee.

Beliau berkata demikian pada majlis Malam Seribu Kenangan Mantan Pengarah Institusi Latihan Perindustrian (ILP) Miri, Ramli Rashidi yang berlangsung di Usun Apau Hall Hotel Parkcity di sini, malam kelmarin.

Sebagai contoh katanya, ILP Miri sejak ditubuhkan beberapa tahun lalu, ia telah mendapat sambutan yang menggalakkan bukan sahaja daripada masyarakat setempat malahan dari masyarakat luar Miri dan Semenanjung Malaysia.

“Pelbagai cara kita lakukan untuk menarik masyarakat khasnya golongan belia untuk mengikuti kursus-kursus yang ILP tawarkan dan ia amat memberangsangkan apabila mendapat sambutan daripada pelbagai kaum yang berminat untuk belajar di ILP,” katanya sambil menambah pada permulaan pembukaan ILP Miri, mereka telah menerima lebih 600 permohonan.

Mengulas mengenai mantan pengarah ILP Miri tersebut, Lee berkata Ramli merupakan seorang yang komited dan bersungguh-sungguh terhadap pekerjaannya.

Lee yang juga Pengerusi Jawatankuasa Panel Penasihat ILP Miri berkata, Ramli telah banyak berjasa dan segala usaha serta kepimpinannya sejak berkhidmat menjadi pengarah ILP Miri amat dihargai.

Ramli Rashidi telah bertugas sebagai pengarah ILP Miri sejak 2006 selepas menjawat jawatan yang sama di ILP Kota Samarahan. Sementara itu, majlis yang bertemakan ‘Retro’ dihadiri lebih kurang 100 kakitangan ILP Miri turut diserikan dengan pelbagai aktiviti yang telah diadakan.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang malam itu ialah persembahan akustik, nyanyian karaoke, sesi bergambar, pemilihan ‘The Sparkling Diva of Retro Nite’ dan lain-lain.

Turut berucap pada malam majlis berkenaan ialah Pengarah ILP Miri, Mohd Faizal Tokeran.