RM73.68 juta untuk naik taraf, baik pulih sekolah di S’wak

0

KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam meng-umumkan peruntukan berjumlah RM73.68 juta bagi kerja-kerja menaik taraf serta membaik pulih sekolah-sekolah di negeri ini.

SEPAKAT: Muhyiddin Yassin (tengah) bergandingan tangan tanda sepakat dengan para pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) Negeri, (dari kiri) Timbalan Presiden PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, Presiden SPDP Dato’ Sri William Mawan (kiri), Presiden PBB Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Presiden SUPP Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan dan Presiden PRS Dato’ Sri James Masing selepas mengadakan perbincangan mengenai senarai calon-calon pada Pilihan Raya Negeri Sarawak di Kuching semalam. • Berita Lanjut Muka 3

Menurutnya daripada jumlah itu, RM25.68 juta akan diagihkan kepada 130 sekolah Mubaligh, RM20 juta lagi bakal dibahagikan kepada 167 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan baki RM28 juta akan diberikan kepada 1,266 buah Sekolah Kebangsaan (SK) di seluruh Sarawak.

“Bagi peringkat permulaan, kita akan menyampaikan     geran permulaan RM50,000  kepada setiap sekolah akan disampaikan dalam tempoh yang segera.

“Yakni kita akan serahkan kepada wakil-wakil Barisan Nasional (BN) di kawasan DUN (Dewan Undangan Ne-geri) yang ada sekolah-sekolah ini, untuk disampaikan ke-pada pengetua atau pihak lembaga pengurusan sekolah dan sebagai permulaan RM6.5 juta akan diagihkan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Peja-bat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Jalan Bako, dekat sini semalam yang turut dihadiri Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang juga pengerusi BN negeri dan presiden PBB.

Muhyiddin yang juga Men-teri Pelajaran berkata baki peruntukan itu akan diagih-kan pada pusingan kedua nanti secepat yang mungkin.

Terdahulu beliau menghadiri mesyuarat dengan pemimpin-pemimpin parti komponen BN negeri iaitu PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Sementara itu, Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang ditemui selepas itu memberitahu pemberian peruntukkan berkenaan tepat pada masanya dengan mengambil kira keadaan sekolah-sekolah Mubaligh dan Cina yang memerlukan perhatian.

“Kita juga menyedari keadaan sekolah-sekolah Cina dan sekolah-sekolah Mubaligh sudah mula menunjukkan keadaan semakin usang selepas beberapa tahun dan perlu diberi bantuan.

“Namun, disebabkan bantuan (kewangan) ini besar, ia tidak dapat diberi sekali (gus) tetapi secara berperingkat,” katanya sambil melahirkan penghargaan atas perhatian khas tersebut.

Manakala Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berkata, pusingan pertama untuk pemberian peruntukkan itu dijangka tidak lama lagi, mungkin ‘dalam jangka masa seminggu’.

Dr Chan memberitahu, pemberian peruntukkan bagi fasa kedua itu nanti bergantung dengan keperluan serta mengambil kira saiz sekolah berkenaan.

“Kita akan mengambil kita jumlah pelajar. Ini bermakna lebih besar sekolah itu, maka lebih banyak peruntukkan akan diberi dan ini merupakan cara yang adil untuk membahagikannya,” katanya.