13,799 pengundi jadi penentu kemenangan BN di Asajaya

0

ASAJAYA: Seramai 13,799 pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya akan menjadi penentu kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya negeri Sarawak Ke-10 pada 16 April nanti.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, 80 peratus pengundi terdiri daripada kaum Melayu, 10 peratus kaum Cina dan selebihnya kaum lain.

“Saya tidak bergantung kepada satu kaum sahaja kerana bagi saya semua pengundi adalah penting untuk saya.

“Walaupun mereka ini (kaum Cina dan kaum lain) minoriti di sini (Asajaya) tetapi sokongan mereka cukup kuat kepada Barisan Nasional (BN),” katanya semasa ditemui wartwan selepas majlis penyerahan surat tawaran skim pembesaran Kampung Sebandi di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang sama ada pengundi Melayu akan menjadi penentu kemenangan BN dalam pilihan raya di kawasan itu.

Karim yang sudah dua penggal menjadi wakil rakyat di situ juga yakin bahawa beliau mampu mempertahankan kerusi tersebut dalam pilihan raya negeri Sarawak Ke-10 nanti.

Tambahnya, peratusan turun mengundi di kawasan Asajaya merupakan peratusan yang paling tinggi dalam pilihan raya negeri Sarawak berbanding kawasan lain.

Jelasnya, pada tahun 2001, sebanyak 76 peratus pengundi turun mengundi manakala pilihan raya pada 2006 pula, sebanyak 75 peratus pengundi menjalankan tanggungjawab.

“Ini menunjukkan rakyat di sini matang dalam politik dan mereka menjalankan tanggungjawan sebagai warga negara Malaysia dan juga hasil sumbangan kerja keras jentera parti,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud kerana mencalonkannya semula untuk bertanding di kawasan itu.

“Saya janji sekiranya mendapat kemenangan dalam pilihan raya nanti, saya akan meneruskan perancangan pembangunan di sini terutama pembangunan pendidikan,” kata Karim lagi.

Selain itu, ketika mengulas tentang pencabarnya dalam pilihan raya nanti dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Arip Ameran, Karim berkata, negara ini mengamalkan sistem demokrasi dan calon terbuka kepada sesiapa sahaja.

“Kawasan ini saya dapat melihat pemikiran rakyat telah banyak berubah mereka dapat menentukan parti mana yang boleh memimpin dan memberi pembangunan kepada mereka,” ujarnya.