Politeknik Metro akan dibina di Betong

0

KUCHING: Sarawak bakal menerima sebuah lagi institusi kemahiran iaitu Politeknik Metro yang akan dibina di bahagian Betong.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia sebagai tambahan kepada dua buah politeknik yang ada di negeri ini iaitu di Kuching (Matang) dan Mukah dengan jumlah pelajar kira-kira 6,309 orang.

Menurut beliau pelaksanaan politeknik yang di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) itu menelan kos sebanyak RM20 juta.

“Lawatan tapak telah pun kita lakukan, jika tiada masalah kita cuba laksanakan pada tahun hadapan dan ia menelan kos sebanyak RM20 juta.

“Politeknik kini dalam usaha untuk memenuhi permintaan dalam sektor perkhidmatan dan sebab itulah kita membina Politeknik Metro yang menawarkan hospitaliti, teknologi maklumat (IT) dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang selepas menghadiri majlis prihatin bersama komuniti di Dewan Masyarakat Kampung Temenggong di Matang, dekat sini.

Menurut beliau apabila terlaksananya politeknik berkenaan dijangkakan seramai 1,500 orang pelajar sebagai ambilan pertamanya.

Beliau menjelaskan sektor perkhidmatan merupakan komponen terbesar yang menyumbang kepada ekonomi bagi sesebuah negara maju.

“Sektor perkhidmatan menyumbang 60 peratus kepada pertumbuhan ekonomi bagi negara yang bertaraf negara maju..justeru kita perlu melahirkan lebih ramai tenaga dalam sektor perkhidmatan atau pengurusan.

“Atas sebab itu kita merancang untuk memperkenalkan Politeknik Metro yang mana pertama kita rancangkan di Kuala Lumpur dan kemudian diikuti di tempat lain seluruh negara,” katanya.

Khaled yang terdahulunya melakukan simbolik mengecat Surau Darul Halim Kampung Temenggong sebelum menyampaikan bantuan berbentuk makanan kepada warga emas serta ibu tunggal di kampung berkenaan dan penyampaian barangan sekolah kepada pelajar.

Hadir sama penyandang (BN) Dewan Undangan Negeri Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik Mejar (K) Md Nor Yusof dan Pengarah Politeknik Kuching Abd Rahman Khalid.