Jambatan di Kampung Sambir bukan isu kerana ia akan dibina: Karim

0

ASAJAYA: Isu jambatan di Kampung Sambir yang digunakan oleh pencabar kepada calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya tidak menjadi selepas kerajaan BN merancang untuk membina jambatan tersebut.

Calon BN Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pihak kerajaan kini dalam merangka dan membuat reka bentuk jambatan baru itu bagi menggantikan jambatan lama di Sungai Sambir.

“Ia sudah dirancang dan hanya menunggu masa untuk melaksanakan projek pembinaan jambatan itu, jadi tidak timbul isu yang jambatan itu tidak akan dibina,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.

Jelasnya, pihak lawannya hanya pandai mengeluarkan isu untuk mempengaruhi penduduk di situ.

Pada masa yang sama, Karim turut menyatakan bahawa isu-isu seperti masalah parit, jalan raya, tanah dan sebagainya merupakan agenda pihak lawannya untuk meraih undi penduduk di Asajaya.

“Kita (kerajaan) bukan seperti Aladin, jadi semua itu (pembangunan) memerlukan perancangan dan masa untuk merealisasikannya.

“Jadi kita tidak terikut-ikut dengan helah mereka (pencabarnya),” tegasnya sambil menambah pembangunan dan perancangan sedang giat diusahakan untuk memajukan Asajaya.

Sementera itu, dalam tinjauan Utusan Borneo di kampung itu semalam, rata-rata penduduk meluahkan rasa tidak puas hati berhubung sistem perparitan di situ.

Abu Jukong, 60, yang bekerja sendiri berkata, parit yang baru siap dibina pada tahun lepas di kampung itu tidak mengikut piawaian yang tepat.

“Lantai parit ini sama rata menyebabkan air dari parit itu tidak mengalir keluar ke sungai.

“Timbul masalah bau busuk dari parit tersebut kerana airnya tidak mengalir keluar selain menjadi tempat pembiakan nyamuk,” kata Abu.

Tambahnya, walaupun kerja-kerja membersih parit itu giat dijalankan, namun keluhnya sampai bila masalah itu akan membelenggu mereka.

Manakala Siput Bawi, 57, memberitahu bahawa dia sering menyuruh suaminya menimba air yang tersumbat di parit hadapan rumahnya kerana tidak tahan menghidu bau busuk dari parit tersebut.

“Apabila hujan lebat, air yang bertakung dalam parit itu akan menyebabkan kampung ini banjir,” katanya.

Keresahan yang sama juga diluahkan oleh Asan Eli, 54, yang mencadangkan agar kerajaan segera menyelesaikan permasalahan itu.

“Kami tidak menentang kerajaan, tetapi kami mahu kerajaan tahu permasalahan yang dihadapi penduduk di sini (Kampung Sambir Hulu),” ujarnya.