Site Last Updated 11:43 am, Saturday

NKRA Pendidikan menjadi keutamaan dalam Program Transformasi Ekonomi

Posted on April 9, 2011, Saturday

PADA 28 Januari 2010, Buku Program Transformasi Kerajaan telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mendokumenkan inisiatitif kerajaan bagi merealisasikan Gagasan 1 Malaysia “Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan”.

Program Transformasi Kerajaan (GTP) memberi fokus kepada 6 Bidang Keberhasilan Utama Nasional atau lebih dikenali sebagai National Key Results Areas ( NKRA) iaitu i) mengurangkan kadar jenayah, ii) Memerangi Rasuah, iii) Meluaskan Akses Kepada Pendidikan berkualiti dan Berkemampuan, iv) MeningkatkanTaraf Hidup Rakyat Berpendapatan Rendah, v) Meningkatkan infrastruktur Luar Bandar dan Pedalaman dan vi) Meningkatkan Kualiti Pengangkutan Awam di bandar.

Pendidikan merupakan salah satu daripada NKRA yang diberi keutamaan oleh Kerajaan kerana survei serta tinjauan yang telah dijalankan oleh pelbagai pihak swasta dan kerajaan mendapati pendidikan merupakan perkara yang amat dekat dihati rakyat.

Namun, pada masa yang sama kajian peringkat antarabangsa seperti TIMSS pada tahun 2007 menunjukkan bahawa pencapaian pelajar Malaysia dalam Matematiks dan Sains semakin menurun, malahan jurang pencapaian antara negara Malaysia dengan negara jiran seperti Singapore dan Hong Kong semakin melebar iaitu sebanyak 20 peratus berbanding hanya 5 peratus pada tahun 2003.

Dapatan kajian ini membuktikan bahawa sistem pendidikan Malaysia harus bertindak pantas supaya tidak terus ketinggalan dalam persaingan pendidikan pada peringkat antarabangsa. Justeru, dalam GTP ini, NKRA Pendidikan diberi keutamaan.

ASPIRASI PENDIDIKAN NEGARA

1. Aspirasi NKRA Pendidikan memberi penekanan kepada meningkatkan pencapaian pelajar secara holistik dari segi intelektual, emosi, rohani dan jasmani. Peningkatan pencapaian pelajar pada semua peringkat pendidikan adalah amat krusial untuk membangunkan modal insan yang cemerlang bagi menghasilkan tenaga kerja mahir supaya hasrat Malaysia menjadi negara membangun berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 dapat dicapai.

2. Selain itu, aspirasi pendidikan juga adalah untuk memastikan pendidikan berkualiti dan berkemampuan dapat dikecapi oleh semua pihak bagi menambahbaik dan meningkatkan taraf kehidupan penduduk Malaysia secara menyeluruh.

NKRA PENDIDIKAN – ASAS TRANSFORMASI KE ARAH MEMBUDAYAKAN PENILAIAN BERASASKAN KEPADA PENCAPAIAN

3. Dalam NKRA Pendidikan, dua fokus utama dijadikan asas kepada transformasi yang dilaksanakan iaitu i) memastikan semua kanak-kanak mendapatkan permulaan pendidikan (Headstart) yang berkualiti dan ii) membangunkan budaya pencapaian (performance culture) untuk memacu transformasi dalam sistem pendidikan. Oleh sebab itu, pendidikan prasekolah, penguasaan literasi dan numerasi pada Tahap Satu, Sekolah Berprestasi Tinggi dan memperkenalkan tawaran baru kepada Pengetua dan Guru Besar yang mampu meningkatkan kecemerlangan berdasarkan penaksiran berasaskan pencapaian dijadikan sub bidang NKRA yang diberikan tumpuan utama.

4. Selain 4 sub bidang NKRA ini, bidang – bidang utama lain diberi penambahbaikan bagi memastikan kelangsungan transformasi serta menghasilkan outcome seperti yang dihasratkan. Antara perkara yang diberi keutamaan adalah untuk memastikan profesion keguruan lebih menarik serta membangunkan guru-guru yang cemerlang kerana kajian yang dijalankan oleh McKinsey ke atas sistem pendidikan di negara-negara maju mendapati bahawa “The quality of the system cannot exceed the quality of its teachers and principals”. Perkara ini membuktikan bahawa kualiti guru merupakan pemangkin utama dalam memastikan kecemerlangan sistem pendidikan sesuatu negara.

5. Pada masa yang sama, Kementerian Pendidikan juga sedang melaksanakan transformasi kurikulum bagi memastikan modal insan yang dihasilkan dapat memenuhi permintaan dan keperluan Negara bagi mencapai taraf Negara maju menjelang 2020. Transformasi kurikulum ini juga memberi penekanan kepada aspek penguasaan bahasa khususnya Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris tanpa meminggirkan bahasa ibunda masing-masing.

MATLAMAT DAN SASARAN SUB NKRA PENDIDIKAN

6. Seperti yang telah dinyatakan di perenggan 7, terdapat 4 sub NKRA Pendidikan iaitu i) Meningkatkan kadar enrolmen kanak – kanak berumur 4+ dan 5+ tahun menyertai Pendidikan Prasekolah, ii) Memastikan setiap kanak-kanak normal menguasai asas literasi dan numerasi setelah mengikut 3 tahun pendidikan rendah, iii) Membangunkan Sekolah Berprestasi Tinggi dan iv) Menyediakan tawaran baru kepada Pengetua dan Guru Besar berdasarkan penilaian berasaskan pencapaian.

Meningkatkan kadar penyertaan kanak – kanak berumur 4+ dan 5+ tahun menyertai Pendidikan Prasekolah.

7. Pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti adalah penting bagi memastikan kanak-kanak akan terus berjaya dalam pendidikan, ini telah dibuktikan oleh banyak negara maju. Perkara ini menyebabkan pendidikan prasekolah telah dijadikan sebagai sub NKRA Pendidikan. Walaupun pendidikan prasekolah telah dijadikan sistem pendidikan kebangsaan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) semenjak tahun 1990, kadar penyertaan kanak-kanak ke pendidikan prasekolah KPM serta agensi-agensi lain seperti KEMAS, JPNIN dan Swasta hanya 67 peratus. Maka dalam tempoh pelaksanaan GTP ini, sasaran yang ditetapkan adalah untuk meningkatkan kadar penyertaan kanak-kanak yang berumur 4+ dan 5+ daripada 67 peratus kepada 87 peratus pada tahun 2012 serta meningkatkan kualiti pendidikan prasekolah.

8. Mengikut pecahan sasaran yang ditetapkan seperti berikut iaitu i) 72 peratus pada tahun 2010, ii) 80 peratus pada tahun 2011 dan iii) 87 peratus pada tahun 2012. Sehubungan dengan itu, 7 inisiatif dirangka dan telah dilaksanakan mulai tahun 2010 iaitu i) mewujudkan Jawatankuasa Penyelarasan Prasekolah Kebangsaan, ii) pelaksanaan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK), iii) menyeragamkan bantuan kepada murid prasekolah kerajaan, iv) meningkatkan kualiti guru dan pembantu guru, v) menambah bilangan kelas prasekolah di kawasan miskin bandar, luar bandar dan pedalaman vi) meningkatkan Perkongsian Pintar Kerajaan -Swasta dalam pendidikan prasekolah dan vii) mewujudkan Sistem Maklumat Prasekolah Kebangsaan

i) Prasekolah ( Sasaran tahun 2010 – Kadar enrolmen murid prasekolah – 72% )

Sub NKRA Prasekolah menunjukkan prestasi yang cemerlang kerana berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu 72.42% dengan bilangan prasekolah sebanyak 1500. Sebanyak 315 buah prasekolah KPM telah beroperasi mulai Januari 2010, dan tambahan sebanyak 4 prasekolah yang dibina di Rumah Panjang di Sarawak, dan 6 Pusat Komuniti di Sabah yang mula beroperasi mulai pertengahan Jun 2010. Pada masa yang sama, 50 prasekolah JPNIN dan 500 prasekolah KEMAS telah beroperasi. Pada masa yang sama pihak swasta juga berjaya membuka prasekolah melebihi unjuran pada tahun 2010 iaitu daripada 488 kepada 625 prasekolah. Dari segi enrolmen pula, sebanyak 701,144 (72.42 peratus) kanak-kanak berusia 4+ tahun dan 5+ tahun ke atas di seluruh negara telah menyertai pra sekolah.

Pada masa yang sama, sebanyak 25,419 murid yang belajar di prasekolah swasta daripada keluarga berpendapatan RM2,300 ke bawah layak untuk menerima bantuan yuran sebanyak RM150 sebulan. Peruntukan yang telah diturunkan adalah sebanyak RM11,427,200. Tujuan pemberian bantuan yuran adalah untuk menggalakkan semua kanak-kanak yang berumur 4+ dan 5+ yang tinggal di kawasan tiada prasekolah KPM, JPNIN dan KEMAS untuk mengikuti pendidikan prasekolah swasta. Selain itu, bantuan makan untuk kanak-kanak prasekolah KPM, KEMAS dan JPNIN telah diselaraskan dan dinaikkan kepada RM1.80 di Semenanjung dan RM2.05 di Sabah & Sarawak yang melibatkan peruntukan sebanyak RM4.9juta.

Dari segi latihan guru prasekolah swasta dan JPNIN, KPM telah berkolaborasi dengan pihak IPTA dan IPTS. Sebanyak 3,439 telah dilatih oleh 11 IPTS (29 Nov – 17 Dec 2010) dan 3,561 telah dilatih oleh IPG,BPG and IPTA. (29 Nov – 10 Dec 2010)

Pada tahun 2011, disasarkan sebanyak 715 prasekolah KPM, 1000 prasekolah KEMAS, 50 prasekolah JPNIN dan 1000 prasekolah swasta dijangka beroperasi.

Semasa Mesyuarat PreDTF pada 19 Ogos 2010, YAB Timbalan Perdana Menteri telah bersetuju sebanyak RM1.44juta diberikan kepada SeDIDIK bagi pembangunan 12 prasekolah di bawah SeDIDIK. Daripada 12 prasekolah ini, 10 buah prasekolah SeDIDIK telah siap untuk beroperasi mulai 3 Januari 2011, manakala 2 buah lagi akan siap pada pertengahan Januari 2011.

Harapan kerajaan ialah melihat NKRA Pendidikan ini akan berjaya melahirkan modal insan yang cemerlang bagi pembangunan tenaga kerja bagi memacu ekonomi negara mencapai Model Baru Ekonomi, seterusnya mencapai Wawasan 2020 seperti yang dihasratkan.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.

90