Slogan tidak semestinya baik, kata Dr Koh

0

MIRI: Laungan slogan ‘Sarawak, Jom Ubah’ yang digunakan Parti Tindakan Progresif (DAP) semasa berkempen tidak semestinya baik dan menjamin masa depan rakyat.

Presiden GERAKAN, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon memberitahu, sebaliknya Barisan Nasional (BN) mempunyai rekod yang cukup cemerlang dalam mentransformasikan pembangunan di negeri ini khususnya di Miri.

“Apa yang penting sekarang, Sarawak menikmati pembangunan dan peningkatan taraf kualiti hidup hasil pentadbiran BN.

“Manakala slogan ‘Sarawak Jom Ubah’ yang digunakan DAP belum tentu dapat mengubah nasib rakyat sebenarnya, jangan-jangan rakyat lebih mundur dan ketinggalan,” katanya kepada media selepas melancarkan kawasan Rukun Tetangga dan Skim Rondaan Sukarela Bahagian Miri di Pusat Rukun Tetangga Desa Senadin, malam kelmarin.

Hadir sama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin, calon BN kerusi Senadin, Datuk Lee Kim Shin dan Residen Miri, Antonio Kahti Galis.

Menurut Koh, rakyat tidak perlu terperangkap dengan slogan parti lawan itu kerana rakyat khususnya di luar bandar perlukan lebih banyak perhatian daripada kerajaan sedia ada.

“Kebanyakan slogan yang digunakan parti pembangkang dalam kempen mereka hanya sekadar janji kosong untuk mempengaruhi rakyat supaya menyokong mereka pada pilihan raya kali ini,” katanya. Mengulas tuduhan parti lawan bahawa BN mengamalkan rasuah dan kroni, Koh berkata semuanya berbentuk tuduhan palsu tanpa bukti yang kukuh.

“Mereka suka menuduh, namun mereka tiada bukti. Apa yang penting, parti lawan ambil tindakan, jangan cakap sahaja. Nampaknya cerita itu menarik, namun buktinya bagaimana?

“Semuanya, adalah berbentuk tuduhan palsu tanpa bukti bertujuan mempengaruhi pengundi,” katanya.

Terdahulu, Koh dalam ucapannya menyeru rakyat di negeri ini agar menilai calon yang boleh membawa perubahan lebih baik untuk mereka dan bukan sekadar bijak menabur fitnah.

Beliau juga mengingatkan rakyat Sarawak agar tidak menggadai masa depan mereka dengan terpengaruh dengan helah parti lawan yang cuba meraih undi dengan memburuk-burukkan kerajaan. Katanya, masa depan negeri ini amat bergantung kepada kebijaksanaan rakyat memilih kerajaan yang dipercayai mampu membawa kemajuan untuk mereka.