Ceramah jadi debat BN, PKR

0

Keadaan riuh rendah apabila kedua-dua parti adakan ceramah serentak di tempat yang sama

KUCHING: Keadaan di Kampung Boyan malam kelmarin riuh rendah apabila dua parti yang bertanding mengadakan ceramah secara serentak di tempat yang sama.

Kira-kira 2,000 penyokong Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berada di kampung tersebut datang untuk mendengar ceramah pemimpin masing-masing.

Namun demikian, keadaan menjadi bingit apabila penceramah daripada BN Senator Ezam Mohd Nor mengadakan ceramah dan pada masa yang sama Timbalan Presiden PKR Azmin Ali turut berceramah.

Keadaan kemudiannya menjadi semakin riuh rendah apabila Ezam dan salah seorang pemimpin PKR berdebat melalui mikrofon di mana pemimpin PKR menuduh Ezam sebagai pengkhianat besar.

Menjawab pertuduhan tersebut, Ezam secara terbuka melafazkan sumpah bahawa beliau meninggalkan PKR bukan kerana pangkat dan darjat tetapi kerana prinsip.

Dalam ucapannya, Ezam berkata beliaulah yang berhak menilai pemimpin PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya sudah dua kali masuk penjara dan 11 kali masuk lokap kerana membela Anwar Ibrahim tetapi setelah saya mengetahui beliau benar-benar melakukan liwat, saya mengambil keputusan untuk meninggalkan parti tersebut,” katanya.

Dalam ceramah yang sama Ezam turut mendakwa bahawa Anwar menggunakan Sarawak sebagai platform terakhir untuk menyelamatkan kerjaya politiknya.

“Dia akan menggunakan pilihan raya ini sebagai medan terakhirnya untuk menyelamatkan kerjaya politiknya kerana selepas ini dia tahu bahawa riwayat politiknya akan tamat,” katanya.

Sementara itu, khemah PKR malam kelmarin sering kali melaungkan isu pengambilan tanah oleh BN di negeri ini untuk diagihkan kepada kroni-kroni.

Menjawab isu tersebut, calon BN DUN Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi yang ditemui berkata pihak pembangkang sengaja memanipulasikan isu tersebut.

Katanya, BN bukannya merampas tanah rakyat tetapi menggunakan tanah untuk tujuan pembangunan untuk manfaat rakyat sendiri.

“Seperti kita membina tebingan di Kampung Boyan, Gersik dan Sourayabaya ini dahulu, kita menggunakannya untuk tujuan yang baik dan untuk penduduk yang terjejas akibat proses tersebut, kita telah membuat penempatan semula di kawasan Demak,” jelasnya.

Katanya, Pakatan Rakyat dari Semenanjung Malaysia hanya datang ke negeri ini untuk suka-suka tetapi BN serius terhadap pembangunan negeri ini.

Malam kelmarin berlaku dua kekecohan apabila seorang penyokong telah ditumbuk dan sebuah kereta dipecahkan cermin belakangnya setelah dikatakan memecut di kawasan orang ramai berkumpul.

Pihak polis bagaimanapun berjaya mententeramkan keadaan.