Sih berjanji selesai masalah rakyat, jalin kerjasama dengan pihak terlibat

0

KUCHING: Menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat di segenap sudut konstituensi Batu Lintang dan menjalin kerjasama dengan pihak terlibat.

Begitulah janji calon BN di Batu Lintang Sih Hua Tong sekiranya beliau mendapat platform sebagai seorang wakil rakyat di kawasan itu yang kini disandang oleh pembangkang.

Ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis gotong-royong di Pasar Komuniti Stutong di sini semalam, beliau tidak menafikan di konstituensi itu banyak masalah yang dihadapi penduduk namun ia berjaya diselesaikan satu persatu.

“Kami telah selesaikan masalah mereka tetapi bukan masa pilihan raya sahaja… walaupun kami (BN) tewas lima tahun lalu kami tetap turun padang.

“Malahan meskipun wakil rakyat bukan daripada SUPP dan BN tetapi kami tidak pernah menggunakannya sebagai satu alasan,” tegasnya.

Sih berkata bagi lima tahun lalu jentera khasnya BN sering turun padang dan kini mereka lebih tahu jenis masalah yang dihadapi oleh penduduk di merata tempat di kawsan Batu Lintang.

Justeru katanya jika beliau berjaya merampas kembali Batu Lintang daripada pembangkang, beliau berjanji akan menangani masalah dan bekerjasama dengan agensi serta jabatan kerajaan dan kementerian berkaitan dalam menangani masalah rakyat.

“Misalnya di Sungai Maong, masalah utama yang dihadapi pendidik adalah perparitan yang kadangkala berlaku sekiranya hujan lebat.

“Bagi menghadapi masalah itu saya mesti menghantar cadangan kepada pihak berkaitan  selain memohon peruntukan supaya masalah dapat diselesaikan,” kata beliau.

Mengulas mengenai cara parti lain atau pembangkang menyelesaikan masalah yang dihadapi katanya, cara BN berbeza dengan pihak lawan.

“Sebagai seorang ahli politik tumpuan adalah kepada rakyat itu yang utama sekali… tidak kira lawan kita ada atau tidak asalkan kita tidak hilang tumpuan,” katanya.

Pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-10 Sarawak ini, Batu Lintang yang disandang oleh Voon Lee Shan (DAP) dengan undi 8,806 serta majoriti 3,407 itu menyaksikan pertarungan tiga penjuru iaitu Sih (BN), See Chee How (PKR) dan Soo Lina (Bebas).

Majlis gotong-royong di pasar komuniti itu semalam dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut mengumumkan peruntukan RM300,000 bagi membaik pulih pasar komuniti berkenaan.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, calon-calon BN di Pending Profesor Dr Sim Kui Hian, Datuk Alfred Yap (Kota Sentosa), Sim Kiang Chiok (Padungan) dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) James Chan.