Bekalan telur ayam di Kota Kinabalu cukup dan asli

0

Bekalan telur ayam di Kota Kinabalu cukup dan asli

KOTA KINABALU: Telur yang dijual di sekitar Kota Kinabalu adalah asli dan berasal daripada pembekal tempatan.

Tinjauan Utusan Borneo dalam kalangan penjual telur mendapati, kesemua peniaga telur masih mempunyai bekalan telur yang mencukupi dan tidak wujud kejadian penjualan telur tiruan.

Menurut penjual telur di pasar Menggatal, Julia Sumah, bekalan telur tidak berkurangan dan kewujudan telur tiruan di pasaran adalah sesuatu yang mengejutkan.

“Isu ini tidak menjejaskan pernigaan saya, kerana bekalan telur yang saya peroleh adalah berasal dari Kampung Pulutan dan pelanggan percaya bahawa telur yang ada di pasar ini adalah asli,” katanya.

Namun begitu, Sopenna Lagu yang juga seorang peniaga dengan sedih berkata, masalah yang dihadapi bukannya berkaitan dengan isu ini, tetapi harga yang dikenakan oleh pembekal adalah mahal berbanding di kedai runcit.

“Satu dulang telur dijual kepada saya dengan harga RM10.80 dan saya terpaksa menjual dengan harga RM0.45 sebiji…oleh itu, ramai pelanggan beli dari kedai runcit yang menjual dengan harga yang lebih murah dan ini sahaja sebab pelanggan saya berkurangan,” katanya.

Sementara itu, peniaga telur di Pasar Besar Kota Kinabalu rata-rata tidak bimbang dengan kewujudan isu ini kerana bekalan telur yang mereka perolehi bukannya datang dari luar negara.

Menurut seorang penjual telur ayam, Abdul Manan, hasil jualan telur tidak berkurangan dan beliau berpendapat isu ini tidak langsung memberi kesan terhadap bekalan telurnya.

Menurutnya, telur yang diperolehi adalah menerusi kilang tempatan dan bukannya import.

Bagaimanapun, sejak timbulnya isu telur tiruan ramai pembeli bimbang keaslian bahan tersebut tetapi mereka lega apabila mengetahui telur yang dijual sekitar sini semuanya keluaran tempatan.

Aryneo Pedro dan Mohd Norhisyam Mursfid pula berpendapat, telur tiruan tidak akan sampai ke Sabah dan mereka mendapat bekalan telur dari daerah Papar dan sejak berita mengenai telur tiruan ini didedahkan, mereka mendapati hasil jualan telur tetap meningkat.

“Kami fikir kebanyakan pelanggan yang selalu membeli dari pasar raya datang ke sini membeli telur…mungkin pelanggan khuatir harga telur di pasar raya murah dan curiga keasliannya sebab itu mereka beralih ke pasar,” kata mereka.

Bagi pengguna seperti Charles Edward yang berasal dari Menggatal, mereka yang tidak bertanggungjawab menghasilkan telur tiruan harus dikenakan hukuman setimpal kerana produk mereka boleh memudaratkan kesihatan.

“Buat masa ini kita belum tahu apa kesan negatif telur tiruan ini…memang tidak bagus jika sesuatu tidak tulen dikeluarkan di pasaran, kerana kita tidak tahu sama ada ia membawa kanser atau penyakit lain jika dimakan. Sekarang saya akan bertanya dahulu sebelum membeli telur,” katanya.

Menurut seorang lagi pengguna, Ismail Datu, beliau juga bimbang terhadap isu telur tiruan, namun masih percaya bahawa produk tersebut tidak sampai ke negeri Sabah dan yakin telur di pasaran Kota Kinabalu masih asli serta berkhasiat.

Siasatan yang dijalankan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendapati kulit telur tiruan diperbuat daripada lilin parafim, serbuk gypsum dan kalsium karbonat manakala putih dan kuning telur menggunakan bahan daripada natrium alginat, alum, geletin, asid benzoik, kalsium klorida, air serta bahan pewarna makanan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai sebelum ini dilaporkan berkata, perbuatan menjual telur tiruan adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 14 (1) dan 14 (2) Akta Makanan 1983 dan Peraturan 171 (1) Peraturan-peraturan Makanan 1985.

Sabit kesalahan penjual boleh dikenakan hukuman penjara selama tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 14 (1).