Empangan kecil, telaga tiub atasi pembakaran terbuka

0

Pembakaran terbuka akan mengundang masalah jerebu

BEAUFORT: Kerajaan persekutuan akan membina beberapa lagi empangan kecil dan telaga tiub tahun ini sebagai sebahagian daripada usaha menangani masalah pembakaran terbuka yang menjadi punca utama berlakunya jerebu di negara ini.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup berkata langkah itu penting memandangkan udara berjerebu sudah hampir pasti berlaku setiap kali musim kering.

“Pada masa itu, keadaan boleh menjadi sangat teruk sehingga pernah juga beberapa kali sekolah terpaksa ditutup kerana keadaan sudah menjadi tidak sihat untuk anak-anak kita keluar rumah.

“Bukan sahaja ramai yang menjadi tidak sihat, malah lapangan terbang juga terpaksa ditutup kerana jarak penglihatan sudah tidak selamat untuk penerbangan dan begitu juga dengan kegiatan perkapalan,” katanya ketika merasmikan empangan kecil dan telaga tiup negeri Sabah di Pusat Latihan Perhutanan Klias dekat sini semalam.

Projek yang membabitkan pembinaan tiga empangan kecil dan dua telaga tiub di Klias itu dimulakan pada tahun lepas dan dikendalikan oleh Jawatankuasa Pengurusan Tanah Gambut Negeri Sabah.

Sehingga kini, kerajaan persekutuan telah membina 87 empangan kecil, 19 telaga tiub dan tiga menara tinjau di seluruh negara.

Kurup berharap semua pihak termasuk kerajaan ne-geri terus menyokong program itu yang ternyata membawa kesan yang jelas kepada kesejahteraan dan kesihatan rakyat. — Bernama