Meneruskan hidup pasca tsunami

0

“BAGAIMANA keadaannya?” ramai bertanyakan soalan itu kepada saya apabila saya pulang ke Tokyo setelah seminggu membuat liputan di bandar-bandar pesisir pantai Jepun yang dilanda tsunami.

USAHA DITERUSKAN: Penduduk berjalan di atas beting pasir yang terbentuk selepas tsunami berakhir, dengan sebuah bot ikan yang besar terdampar, di Higashimatsushima, daerah Miyagi, seminggu selepas tragedi 11 Mac itu. — Gambar Reuters

TIADA AMARAN: Papan tanda dengan slogan bermaksud ‘Bencana berlaku tanpa disangka’ terpapar pada dinding bangunan balai bomba yang menunjukkan garisan air hitam tsunami semasa bencana 11 Mac, di Ofunato, daerah Iwate, semalam. — Gambar Reuters

HANYA TINGGAL KENANGAN: Seorang lelaki duduk bersendirian di kawasan pelabuhan yang rosak akibat bencana 11 Mac lalu, di Ofunato, daerah Iwate, semalam. — Gambar Reuters

Saya cuba mendapatkan gambaran yang tepat, namun gagal.

Sebaliknya, wajah-wajah mereka yang saya temui di jalanan dan di pusat penempatan sementara di wilayah timur laut yang musnah pula muncul dalam ingatan.

Ada di antaranya menangis tersedu-sedan apabila memikirkan orang tersayang yang terkorban dan ada juga bersyukur kerana menerima makanan dan bekalan meskipun gangguan elektrik berterusan dalam keadaan suhu menghampiri paras beku.

Sesetengahnya meminta saya menceritakan kepada dunia tentang kejadian yang sebenarnya.

Sebarang kata-kata kepada rakan-rakan saya di Tokyo pasti kedengaran seperti dibuat-buat, fikir saya.

Saya melawat bandar Otsuchi, Rikuzentakata dan Kesennuma kira-kira 10 hari selepas gempa bumi bermagnitud 9.0 dan tsunami yang dicetuskannya melanda wilayah itu dan meninggalkan kemusnahan yang dahsyat, kira-kira 28,000 orang mati atau hilang.

Saya telah melihat rakaman televisyen tsunami 11 Mac sebelum pergi ke sana tetapi melihat keadaannya dengan mata kepala sendiri membuatkan saya terpegun dengan skala kemusnahannya.

Suasana sungguh luar biasa, seperti berada di set filem Hollywood atau imej janaan komputer.

Dua minggu berlalu, mangsa terselamat beralih daripada rasa terkejut kepada tertanya-tanya mengenai masa depan mereka, tiada tempat tinggal, tiada pekerjaan dan ramai masih mencari ahli keluarga yang hilang, kebanyakannya di rumah mayat.

“Sehingga sekarang, apa yang dirasai adalah ketakutan yang sebenar.

“Tetapi kini saya tidak dapat tidur memikirkan apa yang akan berlaku di masa hadapan,” kata Matsuko Nakamura, 62, ketika saya mengunjungi sebuah pusat penempatan semula yang padat di bandar Rikuzentakata.

Rumahnya, yang baru dibina setahun lalu, diranapkan tsunami dalam sekelip mata sahaja meskipun jaraknya agak jauh dari pantai.

Tsunami melanda sehingga lima kilometer dari pantai di sesetengah kawasan.

“Saya tidak tahu apa yang harus dilakukan.

“Saya tidak mempunyai wang dan sampai bila saya dapat bertahan,” keluh Nakamura.

Saya melihat air matanya mengalir dan merasakan diri tidak berguna dan bersalah kerana mempunyai tempat tinggal di luar zon bencana dan tersedia dengan juadah hangat.

Saya merasa malu kerana memakai jaket ski yang dibawa dari Tokyo apabila ramai mangsa yang kehilangan tempat tinggal berselubung selimut dalam kedinginan musim sejuk yang menggigit.

LUANG MASA

Apa yang dapat saya lakukan hanyalah meluangkan sedikit masa dengan setiap individu yang saya temui.

Ada kalanya saya tidak berpeluang untuk bercakap dengan orang lain, namun bercakap selama mungkin nampaknya penting.

“Terima kasih kerana mendengar nasib saya,” kata Nakamura selesai pertemuan kami sambil menambah, dapat meluahkan perasaannya sedikit sebanyak membantu.

Sebaliknya saya pula yang merasakan saya yang mendapat faedah daripada kemurahan hatinya.

Hisashi Fujiwara, 65, antara ramai mangsa terselamat yang cuba mendapatkan kembali kehidupan normal di samping membantu orang lain.

Beliau sibuk di sebuah pusat penempatan semula di Otsuchi, mengumumkan maklumat kepada mangsa terselamat menerusi alat pembesar suara, tetapi diam-diam memberitahu saya beliau terpaksa meluangkan sedikit masa beberapa hari sebelum itu untuk membakar mayat bapanya.

“Saya tiada masa untuk memikirkan tentang kehidupan saya sendiri.

“Rata-rata kami di sini tidak mempunyai rancangan masa depan,” katanya sambil menambah, semua orang saling bantu-membantu di pusat itu.

Tatkala saya meninggalkan pusat tersebut, Fujiwara berjabat tangan dengan saya dan berharap kami dapat bertemu lagi dalam keadaan yang berbeza.

“Saya benar-benar berharap kita akan dapat bertemu lagi di tempat lain,” ujarnya.

Saya dan rakan-rakan sekerja berkunjung ke sebuah pulau kecil yang turut terjejas teruk akibat tsunami.

Kami berbaris bersama penduduk dan keluarga mereka selama berjam-jam untuk mendapat tempat duduk dalam bot yang menjadi satu-satunya jambatan penghubung penduduk pulau tersebut dengan dunia luar.

Tiada sesiapa mengadu bahawa kami mengambil tempat duduk yang berharga daripada penduduk pulau Oshima.

Sebaliknya, mereka membawa kami melawat sekitar pulau dan menjelaskan mengenai usaha bantuan.

“Kamu belum makan tengah hari, bukan? Nah,” kata Hideaki Onodera, yang melawat ibu tuanya di sebuah pusat penempatan semula di pulau itu, sambil menyerahkan sekeping roti.

Namun Onodera mengeluh mengenai pembelian panik yang berleluasa di Tokyo dan bandar-bandar lain di luar zon bencana.

“Ramai orang di Tokyo membeli sebegitu banyak barang sehingga kami gagal mendapat bekalan,” katanya lantas membuatkan saya teringatkan rak-rak yang kosong di kedai Tokyo.

Beberapa hari kemudian, saya pulang.

Kedai dan stesen kereta api menjimatkan tenaga dengan menyuramkan lampu dan tidak menggerakkan eskalator, namun tiada lagi sebarang kekurangan bahan api dan makanan.

Saya merasa seperti berada di planet lain.

Malam itu, saya mandi sepuas-puasnya dan tiba-tiba saya terfikir, ramai mangsa di zon bencana tidak dapat mandi dengan air panas, mereka pasti amat kesejukan pada waktu malam dan tertanya-tanya sama ada masih ada kehidupan baru untuk mereka.

Saya merasa bersalah kerana meninggalkan mereka dan menangis buat kali pertama sejak bencana itu.

Koresponden dalam laporan kesaksian ini ialah Yoko Nishikawa, yang menyertai biro Tokyo Reuters 13 tahun lalu dan membuat liputan mengenai polisi ekonomi, politik serta berita am.

Beliau beralih kepada kerusi penyuntingan Asia di Singapura pada penghujung tahun lepas. — Reuters

BERHARGA: Nelayan Koichi Sasaki masih mencari cincin perkahwinan yang hilang semasa bencana 11 Mac lalu, di sebuah kawasan yang musnah sepenuhnya di Ofunato, daerah Iwate, semalam. — Gambar Reuters