Kemewahan, kemudahan dinikmati tidak harus jadikan rakyat lupa jasa kerajaan

0

CENDERAMATA: Tan (kanan) menerima cenderamata daripada Timbalan Pengarah Bahagian Promosi dan Pengembangan Suruhanjaya Koperasi Malaysia Hazillah Hassan semalam.

BINTULU: Kemewahan dan kemudahan yang telah dinikmati tidak harus menjadikan rakyat lupa akan jasa kerajaan pemerintah yang  menyediakannya, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe.

Katanya, rakyat juga harus bersyukur kerana kerajaan juga memberikan bantuan subsidi yang begitu banyak dengan menyeragamkan harga barangan keperluan harian di luar bandar dengan di bandar.

“Kemudahan asas bekalan elektrik, air, jalan raya serta sekolah, buku teks, hospital semuanya disediakan oleh kerajaan.

“Bahkan yuran pendaftaran untuk rawatan di hospital pula begitu rendah berbanding di negara luar,” ujarnya berucap pada majlis perasmian Program  1Komuniti 1Koperasi Peringkat Bahagian Bintulu semalam.

Tan berkata, hari ini rakyat dapat hidup dengan mewah, dapat menghantar anak-anak ke sekolah dan ke universiti.

Bagaimanapun beliau mengingatkan apabila telah pandai dan hidup mewah janganlah lupa kepada kerajaan yang banyak berbudi kepada kita.

“Kerajaan sekaranglah yang memberi kemewahan dan kestabilan yang dapat kita nikmati hari ini. Perdana Menteri kita sekarang bukan calang-calang orang… beliau turun padang berjalan ke sana sini untuk membawa pembangunan kepada kita,” jelasnya.

“Perdana Menteri keluar negara juga bukan untuk makan angin tetapi untuk mencari pelabur supaya pelabur dapat melabur di negara kita dan seterusnya anak-anak kita akan mendapat peluang kerja dan negara pula terus membangun,” katanya.

Beliau berkata, sejak berpuluh tahun lalu kerajaan Barisan Nasional (BN) telah membantu anak-anak kita dan membela nasib kita.

Katanya, pihak lawan tidak pernah pun membantu kita sebaliknya mereka hanya banyak menabur janji, banyak bercakap, pandai menghasut dan mengapi-apikan kita supaya membenci kerajaan.

Justeru katanya, kita jangan termakan hasutan mereka sehingga kita berpecah belah lebih-lebih lagi Sarawak dan Sabah yang sekian lama mengamalkan konsep 1Malaysia.

“Kita merasa amat sedih kerana pihak lawan telah menanam kebencian di kalangan rakyat di Semenanjung sehingga berlaku perpecahan sesama Cina, Melayu dan India. Kita tidak mahu budaya ini dibawa ke Sarawak.

“Saya menyeru agar rakyat Sarawak bersatu dan jangan membiarkan pakatan pembangkang bertapak di negeri ini kerana kita tidak mahu rakyat Sarawak berpecah,” ujarnya.