Site Last Updated 1:36 am, Saturday

Pekebun kecil dibantu tanam sawit di bawah Skim TSSPK dan TBSPK

by Noor Asmawati Abd Samad. Posted on April 15, 2011, Friday

TAN Sri Bernard Dompok (enam kanan, belakang) bersama pekebun kecil sawit yang menerima bantuan Skim Diskaun CANTAS pada majlis Pemimpin Bersama Pekebun Kecil Sawit di Dewan Rekreasi Ranchan, Serian baru-baru ini. Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Richard Riot (tujuh kanan, belakang) yang juga Ahli Parlimen Serian dan Pengarah Pelesenan dan Penguatkuasa, Adzmi Hassan (lima kanan, belakang) mewakili Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Choo Yuen May.

SERIAN: Kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan membantu pekebun kecil sawit yang layak bagi menanam semula tanaman sawitnya dan juga bagi mereka yang baru ingin menanam sawit.

Mereka yang layak akan menerima bantuan kewangan sebanyak RM7,000 bagi setiap hektar yang diusahakan di bawah Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil (TSSPK) dan Skim Tanam Baru Sawit Pekebun Kecil (TBSPK).

Had bantuan maksima bagi setiap pemohon adalah 5 hektar. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok berkata demikian ketika berucap merasmikan program Pemimpin Bersama Pekebun Kecil Sawit di Dewan Rekreasi Ranchan, di sini baru baru ini.

“Kerajaan ingin membantu pekebun kecil sawit meningkatkan pendapatan dan taraf sosio-ekonominya melalui peningkatan penghasilan Buah Tandan Segar (BTS) tanaman sawitnya.”

“Kita membantu mereka menanam semula pokok sawit tua yang melebihi umur 25 tahun dengan anak benih berkualiti yang berupaya menghasilkan BTS yang tinggi.”

“Selain itu, Kerajaan juga memperuntukkan Bantuan Penyelenggaraan Kebun (BPK) sebanyak RM500 sebulan selama 24 bulan kepada mereka yang lulus bantuan Skim TSSPK.”

“Kita mensasarkan akan menyalurkan BPK kepada 1,200 pekebun kecil yang memiliki keluasan maksima 2.5 hektar tanaman sawit dan memenuhi syarat yang ditetapkan,” katanya.

Tan Sri Bernard Dompok berkata bantuan RM7,000.00 itu disalurkan kepada mereka yang layak untuk membiayai kos pembersihan, penyediaan kebun dan anak benih berkualiti akan dibekalkan oleh MPOB.

“Bantuan itu juga meliputi kos pembelian baja bagi anak pokok yang baru di tanam itu untuk tempoh dua tahun,” katanya.

Bantuan yang disediakan itu akan memberi manfaat kepada pekebun untuk tempoh jangka masa panjang dan menggesa mereka terlibat supaya mendapat bekalan anak benih berkualiti dari pengusaha tapak semaian.

Pekebun juga digalak mendapatkan khidmat nasihat MPOB dan melaksanakan Amalan Pertanian Baik bagi meningkat produktiviti selaras dengan visi untuk mencapai purata 26 tan sehektar setahun BTS menjelang 2020.”

Peningkatan produktiviti BTS dan minyak sawit adalah agenda utama Kerajaan bagi merealisasikan sasaran penjanaan pendapatan sektor sawit di bawah Bidang Ekonomi Utama Nasional (NKEA).

Beliau berkata, Negeri Sarawak mempunyai 10,417 pekebun kecil berdaftar dengan MPOB dengan keluasan 58,800 hektar.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Richard Riot yang juga Ahli Parlimen Serian dan Pengarah Pelesenan dan Penguatkuasa, Adzmi Hassan mewakili Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Choo Yuen May.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.