ICATS tampil lima kursus baru untuk penuhi keperluan industri

0

KUCHING: Kolej Antarabangsa Teknologi Lanjutan Sarawak (ICATS) pada tahun ini menampilkan lima kursus baru pada peringkat diploma sebagai langkah memenuhi keperluan industri berkaitan yang dijangka semakin berkembang di masa depan.

Bercakap pada sidang media, Ketua Pegawai Eksekutif ICATS Baharudin Abdullah berkata, adalah menjadi tradisi pada setiap tahun untuk membuat penambahan pada kursus-kursus yang ditawarkan.

“Setakat ini, kita mempunyai 46 buah kursus dengan penambahan sebanyak sehingga 10 kursus setiap tahun.

“Pada tahun ini, kita menambah lima lagi iaitu Diploma Kejuruteraan Teknikal, Diploma Pengajian Perniagaan, Diploma Minyak dan Gas, Diploma Kejuruteraan Infomatik dan Diploma Multimedia,” katanya di sini, semalam.

Baharudin berkata, kolej tersebut sentiasa peka dalam pembangunan terkini dalam industri terutama dalam mengeluarkan modal insan yang mampu mencapai permintaan buruh pasaran semasa.

Menurutnya, mereka akan berbincang dengan pihak industri dan melatih pelajar mengikut keperluan industri.

Antara kursus yang ditawarkan di kolej tersebut adalah Diploma Kebangsaan Peringkat Tinggi (HND) dalam Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Diploma dalam Kejuruteraan Mekanikal, Diploma dalam Kejuruteraan Awam, Diploma dalam Teknologi Maklumat, Diploma dalam Pengurusan Ladang, Diploma dalam Pengurusan Pelancongan Alam Sekitar dan Kejuruteraan Kejuruteraan Geomatik.

Manakala bagi peringkat sijil, Sijil dalam Kejuruteraan MekanikalSijil dalam Kejuruteraan Elektrik/Elektronik, Sijil dalam Sains Pertanian dan Sijil dalam Pengurusan Pelancongan Alam Sekitar.

Beliau yang juga Pengarah Eksekutif Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) memberitahu bahawa cawangan PPKS di Mukah akan beroperasi sepenuhnya pada Jun ini.

“Cawangan ini boleh menempatkan seramai 400 pelajar pada satu-satu masa dan menawarkan lima kursus,” katanya.

Antara kursus yang ditawarkan adalah Kursus Pembungkusan, Automotif, Rekaan Fesyen, Teknologi Maklumat, Rekaan Grafik dan Elektrikal.

Bagi program peringkat Diploma, pemegang Sijil Pelajaran Tinggi (SPM) dan SPMV atau sesiapa mempunyai keperluan tiga kredit termasuk Bahasa Melayu, Matematik dan salah satu subjek Sains digalakkan untuk memohon.

Manakala bagi peringkat sijil, hanya satu kredit diperlukan.

“Sesiapa yang mempunyai sijil kemahiran pada peringkat ketiga boleh memohon memasuki diploma walaupun tidak mempunyai tiga kredit pada peringkat SPM,” katanya.

Para pelajar yang menamatkan dan lulus mana-mana kursus berkaitan daripada Institusi Pengajian Tingga Awam atau Swasta yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia juga boleh memohon.

Sesiapa yang berminat boleh menghubungi bahagian pemasaran di talian 082-364198 atau 365970.

Mereka juga boleh mengunjungi kampus utama ICAT di Jalan Canna off Jalan Wan Alwi, Tabuan Jaya pada waktu pejabat bermula 8 pagi hingga 5 petang atau memohon secara talian dengan melayari http://www.icats.edu.my.