Pembuatan parang semakin popular, mampu jana pendapatan lumayan

0

KREATIF: Antara parang tempatan yang dihasilkan yang turut dipamerkan dalam pelbagai majlis keramaian.

BAGI mereka yang masih mencari apakah hadiah istimewa untuk dijadikan cenderahati sebagai tanda kenangan kepada rakan dan teman, pastinya keunikan seni pembuatan parang tempatan merupakan jawapan tepat bagi persoalan tersebut.

Tidak dinafikan keunikan dan kecantikan ukiran parang buatan tempatan berjaya memikat hati para pengunjung yang bertandang ke daerah ini.

Industri kecil pembuatan parang tempatan yang dilakukan dalam rumah, kini semakin mendapat tempat di kalangan para pembuat parang di Limbang yang dihasilkan bukan sahaja melalui warisan turun-temurun tetapi juga kerana faktor minat yang menebal terhadap seni ukiran parang.

Boleh dikatakan ramai pembuat parang kini semakin mahir dengan seni pembuatan parang dan menjadikan ia sebahagian daripada karier sampingan untuk mendapatkan sumber pendapatan kerana permintaan tinggi daripada peminat parang itu sendiri sama ada dijadikan koleksi peribadi, perhiasan rumah mahupun cenderamata.

Hasil industri pembuatan parang agak lumayan. Ia dapat menjana pendapatan sehingga mencecah ribuan ringgit, bagi mereka yang rajin menyajikan pelbagai rekaan baru dan kreatif dalam memenuhi selera penggemar parang.

Pembuat parang mengutamakan pembuatan reka bentuk mengikut cita rasa pembeli yang mudah dijual di pasaran. Mereka juga menerima tempahan pembeli mengikut reka bentuk yang dikehendaki.

Tambahan lagi harga bagi sebilah parang berukir ialah RM150 dan mencecah sehingga RM2,000 sebilah, bergantung kepada panjang, kualiti sarung dan jenis besi serta kayu untuk membuat parang, sarung dan hulu.

Bagaimanapun parang jenis ini hanya untuk cenderhati dan perhiasan sahaja.

Kebanyakan sarung dan hulu parang diperbuat daripada pokok tempatan.

Kewujudan teknologi moden sedikitpun tidak menghakis kesenian dan keindahan ukiran parang kerana reka bentuk dan ukiran masih dikekalkan.

Motif ukiran parang yang pelbagai seperti 1Malaysia mempunyai kaitan rapat dengan kebudayaan, kesenian dan warisan masyarakat di daerah ini.

Kini parang tempatan mudah didapati dengan beraneka saiz, bentuk dan seni reka parang yang dijual di pasar Tamu Limbang pada setiap Khamis dan Jumaat dengan harga yang berbeza.

Hasil pembuatan parang juga semakin popular di daerah ini dan menjadi seri kepada beberapa majlis keramaian tertentu.

Ia turut dianjurkan dan dipamerkan kepada orang ramai untuk mempromosikan hasil pembuatan parang mereka.

Bagi pembuat parang, Husli Perak, 44, minat yang mendalam terhadap seni penghasilan parang menjadikan beliau antara pelapis pembuat parang yang terkenal dan bergiat aktif dalam pembuatan parang tempatan.

Beliau yang terlibat sejak dua tahun lalu dalam seni tersebut kini boleh tersenyum apabila parang yang dihasilkan berjaya mencuri tumpuan para penggemar parang termasuk orang kenamaan yang bertandang ke sini.

“Cara membuat parang tidak susah. Ia boleh dihasilkan mengikut kreativiti sendiri berlandaskan minat yang mendalam dan pengalaman ketika melihat orang lain menghasilkan parang sebelum ini,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Malah parang yang dihasilkannya turut dijadikan sebagai cenderamata untuk tetamu kenamaan pada majlis-majlis tertentu.

“Kenangan paling saya tidak lupa ketika parang buatan tangan saya turut dijadikan sebagai cenderamata kepada pemimpin nombor

dua negara Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta beberapa kenamaan lain.

“Ini memberi saya semangat untuk terus menghasilkan parang yang lebih kreatif, unik dengan mengetengahkan kebudayaan tempatan,” ujarnya.

Jelasnya lagi bagi menghasilkan sebilah parang, beliau mengeluarkan modal sekitar RM100.

“Kebanyakan harga bergantung kepada ukuran parang termasuk sarung, dan jenis besi yang digunakan.

“Harga bagi sebilah parang adalah sekitar RM2,000 ke atas mencakupi parang, sarung dan hulu.” katanya lagi.

PELBAGAI PILIHAN: Para pengunjung terpegun dengan keindahan seni reka parang tempatan yang dihasilkan di Limbang.

UNIK: Husli menunjukkan salah satu parang rekaannya yang mencuri hati para penggemar parang.