Gaji minimum menggalak pertumbuhan ekonomi, tingkatkan perniagaan

0

KUCHING: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak yakin pelaksanaan gaji minimum dan lebih tinggi menjelang 1 Januari 2012 akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi dan peningkatan perniagaan bagi syarikat.

Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan MTUC semalam, kesatuan berharap kerajaan menerusi Model Baru Ekonomi (MBE) mengiktiraf keperluan Malaysia untuk meningkatkan pendapatan semua warganya.

Mereka turut memuji kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Unit Pengurusan Prestasi (PEMANDU) Datuk Seri Idris Jala: “Kami mahu semua menjadi kaya bagi jangka waktu yang lama” sejajar dengan pelan mereka bagi tempoh 60 tahun.

MTUC juga berkata PEMANDU menerusi Makmal Pembangunan Modal Insan (HCD) awal tahun ini telah menerajui usaha dengan mencadangkan pindaan yang menyeluruh kepada pelbagai undang-undang buruh sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk memajukan Malaysia supaya menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

Turut disarankan kepada HCD oleh PEMANDU adalah tuntutan lama MTUC bagi insurans pengangguran.

MTUC juga bangga kerana setiausaha mereka Andrew Lo telah menjadi timbalan dalam Makmal HCD dan berharap syor-syor PEMANDU akan diluluskan dan dilaksanakan menjelang tarikh sasaran 1 Januari 2012 dan tidak akan diganggu oleh pihak yang berkepentingan.

Sementara itu MTUC akan meraikan Hari Pekerja pada 1 Mei di Kingwood Hotel, Sibu dengan 500 pegawai dan anggota kesatuan dijangka menghadiri majlis gilanggemilang berkenaan.