Separuh akhir Liga Sarikei 14-15 Mei

0

ABANG ZAINI

SARIKEI: Kejohanan bola sepak Liga Sarikei 2011 yang telah ditangguhkan sejak 27 Mac yang lalu atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan menyambung kembali aksinya sejak 19 April lalu.

Empat pasukan dari Kumpulan A dan B berjaya melayakkan diri ke pusingan separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada 14 dan 15 Mei depan. Mereka ialah Landas, AZ United, P206 dan Belia Meradong.

Namun demikian, besar kemungkinan juga tarikh perlawanan akan ditunda ke tarikh lain memandangkan pada masa yang sama, Kejohanan Futsal Peringkat Negeri Sarawak akan turut diadakan dan ia turut membabitkan beberapa pemain pasukan yang terlibat.

Pengerusi jawatankuasa pertandingan Persatuan Bola Sepak Bahagian Sarikei (SaFA), Abang Zaini Abang Ismail ketika menghubungi pemberita semalam berkata tarikh sebenar perlawanan ini akan dimuktamadkan selepas mesyuarat jawatankuasa penganjuran dalam masa terdekat ini.

“Pihak kita akan maklumkan kepada semua pihak terbabit selepas pihak jawatankuasa bermesyuarat nanti,” ujar Abang Zaini.

Mengulas tentang kelancaran sepanjang pertandingan dijalankan, Abang Zaini berkata semua pasukan yang bertanding telah menunjukkan semangat kesukanan dan berpasukan yang cukup membanggakan.

“Semangat ini bukan hanya ditonjolkan oleh para pemain bahkan turut membabitkan para pengadil yang sentiasa menitikberatkan mutu pengadilan yang tinggi dalam membuat keputusan.

“Pendekatan yang kita serap dan semaikan dalam membuat persediaan awal bagi pertandingan ini telah mencapai tahap yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Abang Zaini menambah: “Namun begitu, bukan semuanya berjalan dengan sempurna kerana kita sememangnya tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Oleh yang demikian, selaku wakil pihak penganjur, saya ingin memohon maaf sekiranya terdapat sebarang ketidakpuasan di kalangan pasukan.”