Kompleks memancing dibina di Telaga Air

0

Ia bakal dilengkapi infrastruktur lengkap seperti terdapat di pusat peranginan

KAKI PANCING: Johari (tiga kanan), Vincent (dua kanan) dan Karim (kanan) bersama antara pemenang pertandingan memancing KBS 2011.

KUCHING: Kompleks memancing mungkin akan dibina di Telaga Air sebagai kemudahan kelab memancing di samping mewujudkan tarikan yang pelbagai dalam sektor pelancongan di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata kompleks tersebut akan dilengkapi dengan infrastruktur lengkap dan menyamai pusat peranginan.

Menurut beliau, pemilihan Telaga Air ialah kerana lokasinya yang menarik selain terdapatnya kawasan peranginan tebingan sungai atau ‘esplanade’ dan pembinaan jalan raya baru yang akan memudahkan lagi perjalanan ke situ.

“Saya akan cuba mendapatkan peruntukan, mungkin RM1 juta dari kerajaan negeri atau persekutuan bagi tujuan pembinaan kompleks ini.

“Kompleks ini kelak akan menjadi tarikan bagi sektor pelancongan negeri kita,” katanya sambil menambah pembinaan kompleks terletak di tapak seluas empat ekar.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis penyampaian hadiah Pertandingan Memancing Kelab Bot Sarawak (KBS) 2011 di Hotel Merdeka Palace, di sini malam kelmarin.

Selain itu, Abang Johari berkata, jeti di Samariang kini juga dalam proses naik taraf dengan kos RM2 juta untuk kemudahan memancing dan dijangka siap dalam tempoh lapan hingga sepuluh bulan lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mencadangkan agar pertandingan memancing KBS disenaraikan dalam kalendar pelancongan Sarawak.

“Ini adalah pendekatan kita untuk mempromosikan Kuching dan Sarawak amnya sebagai destinasi memancing,” katanya.

Pertandingan memancing KBS 2011 diadakan di Santubong pada Isnin lepas.

Ia dibahagikan kepada 10 kategori iaitu ‘Jew Fish’, ‘Snapper’, ‘Grouper’, ‘Trevally’, ‘Mackerel E.1221’, ‘Barracuda E.1222’, ‘Seacat Fish’, ‘Cobia’, ‘Queenfish’ dan ‘Sting-Ray’.

Hadir sama ialah pengerusi penganjur Vincent Then dan naib komodor 1 KBS, Abdul Karim Rahman Hamzah.