Potensi perikanan laut dalam negeri ini cerah

0

Nobel Mermaid sedia tambah jumlah 15 kapal tunda terkini untuk tampung permintaan

DOA SELAMAT: Radin Kadri (tiga kiri) bersama kakitangan Nobel Mermaid Sdn Bhd mengaminkan doa pada majlis pelancaran dua vesel baru milik syarikat di Tanjung Manis.

SIBU: Nobel Mermaid Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh Bumiputera yang terlibat dalam industri perikanan laut dalam di negeri ini kini memiliki 15 rangkaian kapal tunda.

Pengarah Operasinya, Radin Kadri Radin Budiman berkata, setiap daripada vesel perikanan laut dalam itu mampu mendarat kira-kira 60 tan hasil laut sebulan.

Daripada jumlah itu katanya, 20 tan hasil tangkapan dibekalkan ke kilang memproses baja ikan manakala selebihnya dibekalkan untuk kilang-kilang pemprosesan makanan hasil laut tempatan dan dijual sebagai ikan segar.

“Dalam sebulan ada dua kali turun ke laut. Setiap kali ke laut mengambil masa selama 10 hari,” katanya kepada pemberita selepas majlis doa selamat dan menepung tawar dua vesel baru syarikat di Pelabuhan Perikanan LKIM, Tanjung Manis kelmarin.

Majlis doa selamat dan menepung tawar diadakan di atas dek dua kapal terbabit iaitu SF2-3558 dan SF2-4447. Majlis bacaan doa selamat dan upacara menepung tawar dilakukan oleh Ustaz Adeni.

Menurut Radin Kadri, syarikat juga bersedia menambah vesel kerana menyedari potensi perikanan laut dalam di negeri ini mempunyai masa depan yang cerah serta bagi menampung permintaan bekalan bahan mentah untuk industri pemprosesan makanan hasil laut tempatan.

“Potensi industri pemprosesan makanan hasil laut itu dijangka berkembang lebih pesat ekoran pemilihan Tanjung Manis sebagai hab makanan halal di bawah SCORE,” katanya sambil memberitahu Noble Mermaid telah terbabit dalam industri perikanan laut dalam sejak 10 tahun lalu.

Di samping itu katanya, menjadi matlamat syarikat untuk mengambil pekerja di kalangan penduduk tempatan sepenuhnya.

“Namun di s ebabka n penduduk tempatan masih kekurangan dari segi kepakaran dan belum biasa dengan suasana kerja yang lasak, kita terpaksa mengambil pekerja dari Thailand dan Vietnam buat sementara waktu,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau turut melahirkan rasa bangga kerana sebahagian daripada tekong 15 vesel itu dikemudikan oleh anak-anak tempatan dan begitu juga dengan beberapa awak-awaknya.

Noble Mermaid kini mempunyai stor penyimpanan ikan (cold storage) di Tanjung Manis, Sungai Antu dan Pusat Komersial Damai. Dalam masa terdekat sebuah lagi stor akan dibuka di Jalan Pedada.