Sedar diri dibuli mungkin punca SNAP keluar PR

0

KUCHING: Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dr Stephen Rundi percaya Parti Kebangsaan Sara-wak (SNAP) keluar daripada pakatan pembangkang mungkin selepas menyedari diri dibuli.

 

“Saya pasti SNAP sedar diri dibuli dari segi dipergunakan oleh kumpulan lebih besar khasnya DAP (Parti Tindakan Demokratik) yang tidak menghormati kaum Dayak atau Bumiputera, kerana ia bukan dalam agenda mereka untuk masa depan rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, semalam.

Menurutnya, beliau sentiasa percaya bahawa pakatan pembangkang akan berpecah lama-kelamaan.

“Hanya bila sahaja, kita tidak tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar semalam yang menyiarkan SNAP keluar daripada pakatan pembangkang kerana tidak dapat bekerjasama dengan PR.

Manakala Presiden SPDP Dato Sri William Mawan yang menyambut baik perkara itu berkata, langkah yang diambil oleh SNAP dengan keluar daripada pakatan pembangkang, mungkin mendekatkan mereka lagi dengan BN.

“Saya rasa mereka berada satu langkah ke arah memisahkan di-ri daripada politik gila yang tidak bertanggungjawab dan lebih menjurus kepada aliran utama dan tahniah kepada mereka.

“Kami mengalu-alukan per-kembangan selanjutnya dan juga wadah yang sama bagi kerjasama dan komitmen lebih tinggi untuk berkhidmat kepada rakyat di Sarawak,” katanya.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Dato Sri James Masing berkata, perkara tersebut sememangnya dijangkakan kerana usaha sama itu dahulu tidak sepatutnya terjadi.

Menurutnya, parti yang berasal dari Semenanjung Malaysia tidak mungkin dapat memahami keperluan dan aspirasi Sarawak kerana terlalu mementingkan diri.

Terdahulu, PRS pernah  mengajak SNAP bergabung, melihat prestasi parti itu yang teruk pada pilihan raya negeri lepas.