SPRM Miri kenal pasti tiga trend popular kes rasuah

0

MIRI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Miri mengenal pasti tiga trend popular kes rasuah yang berlaku di sini iaitu memberi dan menerima suapan, membuat tuntutan palsu serta menyalah guna kuasa.

Ketua Penolong Pengarah SPRM cawangan Miri, Nurahim Abdul Rahim berkata, trend itu dikenal pasti berdasarkan kes-kes yang dilaporkan di pejabat mereka di sini.

“Trend memberi dan me-nerima suapan atau rasuah merupakan yang paling popular diikuti membuat tuntutan palsu dan juga menyalahguna kuasa,” jelasnya ketika ditemui selepas berucap merasmikan pertandingan menembak anjuran SPRM sempena Program SPRM Bersama Masyarakat yang diadakan di Lapang Sasar Pasukan Ge-rakan Am (PGA), Jalan Miri-Bintulu di sini pagi semalam.

Menurut beliau, tren memberi dan menerima membabitkan dua pihak yang memberi dan menerima wang sogokan, manakala membuat tuntutan palsu membabitkan kesalahan membuat pengesahan projek yang belum siap tetapi bayarannya telah diluluskan.

“Sementara menyalah guna kuasa pula melibatkan pihak berkuasa yang diberi kuasa meluluskan sesuatu projek namun telah  memberi projek itu kepada syarikat yang individu terbabit ada kepenti-ngan di dalam syarikat ter-sebut,” ujarnya sambil menambah inilah kes  yang sig-nifikan di Miri.

Dalam pada itu menurut Nurahim, SPRM tidak akan mampu menangani jenayah rasuah tanpa sokongan dan kerjasama daripada semua pihak termasuk para media, orang awam serta pemimpin di peringkat akar umbi.

“Untuk memerangi rasuah, SPRM bukan hanya memerlukan penguatkuasaan undang-undang tetapi juga sokongan dan kerjasama dari semua pihak kerana jenayah rasuah ini sejak dulu terus menyamai kehidupan dan tamadun manusia, berlaku seiring perjalanan kehidupan manusia. Dalam kata lain selagi ada manusia, rasuah akan terus berlaku,” ujar beliau lanjut.

Selain itu katanya, rasuah juga merupakan satu jenayah yang berlaku di mana-mana dan harus dicegah dengan begitu berkesan kerana ia boleh menjadi punca kepada jenayah yang lain sekiranya tidak dibendung di peringkat awal.

Sehubungan itu katanya SPRM turut mengadakan sesi dialog dan pameran yang bertujuan memberi pendidikan dan kefahaman kepada masyarakat tentang fungsi dan peranan SPRM dalam membanteras jenayah rasuah dan kesan-kesan buruk dari perlakuan rasuah itu itu sendiri.

“Kita turut mengadakan rundingan meja bulat yang merupakan satu program yang dianjurkan bagi membincangkan dan mengenalpasti apa sebenar masalah yang timbul hingga menjadi punca berlakunya rasuah,” katanya sambil menambah SPRM juga akan membantu agensi-agensi dan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah dalam mengurangkan karenah rasuah ini.

Sementara itu menurut Nurahim, SPRM telah mendapat kerjasama sepenuhnya daripada orang awam terutama dalam kes-kes yang dibicarakan di mahkamah.

Cuma katanya di beberapa kawasan, kekangan logistik dan kedudukan geografi yang menjadi penghalang kepada masyarakat untuk memberi atau menyalurkan maklumat kepada SPRM.

“Berikutan faktor itu, sukar untuk kita menetapkan kadar kesediaan mereka untuk memberi kerjasama kepada SPRM,” jelas beliau lanjut.

Dalam pada itu, seramai 20 peserta yang mewakili 11 jabatan kerajaan dan swasta di bahagian ini telah mengambil bahagian dalam pertandingan menembak tersebut.

Jabatan-jabatan terbabit terdiri daripada Pejabat Residen, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Miri (MBM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Imigresen, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Penjara, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Puspakom, Malaysia Airport Berhad dan Bank Islam.

Antara lain menurut Nurahim, objektif utama program itu diadakan adalah untuk memastikan SPRM dapat memelihara kerjasama dengan agensi lain untuk mendapat sokongan dalam memerangi rasuah.