Enam strategi ditetap sebagai kaedah pelaksanaan PS5T PDRM, 2011-2015

0

SIBU: Pihak pengurusan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menetapkan enam strategi sebagai kaedah pelaksanaan Pelan Strategik Lima Tahun (PS5T PDRM) bagi tempoh 2011-2015.

“Saya telah diarah oleh pucuk pimpinan tertinggi untuk menyampaikan dan mengingatkan bahawa strategi ini hendaklah dilaksanakan dengan sepenuhnya supaya program-program yang telah ditetapkan membawa keberhasilan,” kata Ketua Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) SAC Datuk Zainal Abidin Kassim dalam Majlis Taklimat PS5T PDRM 2011-2015 (Zon Tengah Sarawak) yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Katanya, strategi pertama iaitu termasuk sasaran sifar jenayah sehari satu daerah agar pihak kontinjen polis dapat memilih atau menetapkan daerah mana menjadi sasaran supaya tindakan pencegahan dan pembanterasan jenayah dapat difokuskan.

“Pihak urus setia PS5T akan memantau perkara ini,” ujarnya.

Katanya strategi kedua, katanya adalah pembudayaan konsep 4P yang antara lain memfokuskan tentang kualiti dan keberkesanan perkhidmatan PDRM. Strategi kedua, katanya adalah pembudayaan konsep 4P iaitu ‘Protective, Performance and Outcome Oriented’ serta ‘Proactive and People’s Oriented yang antara lain memfokuskan tentang kualiti dan keberkesanan perkhidmatan PDRM.

Menurut Zainal strategi ketiga, iaitu usaha-usaha kolaborasi dan integrasi bersama agensi penguat Kkuasa yang lain, swasta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli masyarakat menekankan tindakan pencegahan jenayah dan penguatkuasaan bersama ahli-ahli masyarakat lain.

Katanya, memandangkan syarikat swasta mempunyai peruntukan bagi program ‘Corporate Social Responsibility (CSR), pihak polis boleh mengeksploitasi CSR ini secara maksimum bagi menjalankan aktiviti pencegahan jenayah.

“Kita perlu bertindak secara proaktif untuk mendapatkan peluang-peluang ini maka situasi menang-menang akan tercapai seterusnya mampu menaikkan nama syarikat- syarikat berkenaan,” jelas Zainal.

Beliau berkata, strategi keempat menyentuh mengenai usaha mempergiatkan pemikiran kreatif dan inovatif. “Budaya Value Creation adalah penting supaya kita tidak ketandusan idea dan supaya PDRM tidak dilihat menjalankan aktiviti lapukk dan tidak diminati.

“Oleh itu, selalulah mengadakan sesi ‘brain storming’ atau sumbang saran di semua peringkat yang melibatkan semua pangkat,” katanya sambil menambah anggotaanggota polis bawahan yang berhadapan dengan masyarakat mungkin dapat memberi pendapat dan pandangan yang lebih realistik dan positif.

Zainal berkata strategi kelima adalah memperkasakan program-program kerohanian yang perlu dipertingkatkan bagi membentuk warga PDRM yang berintegriti.

“Pihak tatatertib perlu bertindak secara kreatif dan inovatif bagi mendapatkan peluang-peluang untuk menganjurkan kursus-kursus pengukuran jati diri,” katanya.

Terakhir sekali, katanya pemantauan secara berkala dan berterusan akan diterajui oleh dua jawatankuasa induk di Bukit Aman dan jawatankuasa kerja di peringkat jabatan dan kontinjen.

“Jawatankuasa kerja perlu mengadakan pemantauan ke atas program-program PS5T yang ditetapkan sebanyak tiga kali setahun iaitu pada April, Ogos dan Disember,” katanya.

Terdahulu, Zainal berkata PS5T PDRM merupakan agenda pasukan dalam usaha membangunkan pasukan polis ke arah sebuah badan penguat kuasa undang-undang utama dengan memberi penekanan kepada pengukuran prestasi semua jabatan dalam PDRM.

Taklimat PS5T PDRM 2011-2015 atau PS5T kedua merupakan kesinambungan kepada PS5T 2007-2011 yang tamat tempohnya April lalu namun pengukurannya telah dibuat bermula Januari lepas.

Turut hadir pada taklimat tersebut ialah Ketua Polis Daerah ACP Shafie Ismail dan dihadiri oleh lebih 100 pegawai dan anggota polis dari seluruh negeri ini.