Lelaki terbunuh dalam pergaduhan

0

MIRI: Seorang lelaki terbunuh dalam satu pergaduhan yang berlaku di sebuah rumah di kawasan Desa Indah 3, Bandar Baru Permyjaya di sini malam kelmarin (Rabu).

Mangsa yang berusia 28 tahun mengalami kecederaan parah iaitu putus kaki kiri (paras lutut), telah dikejarkan ke Hospital Miri sekitar jam 10.45 malam oleh orang awam namun disahkan meninggal dunia pada jam 7.48 pagi semalam.

Berikutan itu, polis telah menahan dua suspek yang masing-masingnya berusia lingkungan 20-an untuk membantu siasatan polis.

Semasa tangkapan dibuat, polis telah merampas tiga bilah parang, tiga batang besi dan sebatang sumpit yang dipercayai digunakan sebagai senjata serangan dalam pergaduhan itu.

Terdahulu menurut sumber, sekitar jam 10.30 malam, mangsa dikatakan telah pergi ke sebuah rumah di kawasan Desa Indah 3, Bandar Baru Permyjaya di sini untuk berjumpa salah seorang suspek.

Dalam perjumpaan itu, tercetus perselisihan faham yang berakhir dengan pergaduhan, di mana mangsa dipercayai telah ditetak menggunakan senjata tajam menyebabkan kaki kirinya putus.

Satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Pusat Miri di sini sekitar jam 12 tengah malam kelmarin berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Polis (ACP) Jamaluddin Ibrahim ketika dihubungi semalam mengesahkan ada menerima laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Katanya, kes itu diklasifikasikan sebagai bunuh dan akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

“Kami akan menyiasat daripada segenap aspek untuk mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya sambil menambah polis tidak menolak kemungkinan pergaduhan itu berlaku berpunca dari perselisihan faham antara mangsa dan suspek.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal polis, mereka percaya terdapat lima orang suspek terbabit dalam kes itu.

“Setakat ini, kami telah berjaya menahan dua suspek untuk membantu siasatan polis dan kami akan melancarkan operasi memburu tiga suspek yang masih bebas,” ujar beliau.

Dalam pada itu, kedua-dua suspek yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret petang semalam telah diperintahkan supaya direman tujuh hari mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan lanjut polis.