Anwar tidak menyesal sertai UMNO selepas tinggalkan ABIM

0

SHAH ALAM: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berkata, beliau tidak menyesal meninggalkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan menyertai UMNO pada 1982.

Beliau berkata, pengalaman yang diperoleh semasa menyertai UMNO cukup berharga walaupun ada di kalangan teman dalam ABIM tidak bersetuju dengan keputusan itu.

Anwar berkata demikian semasa berucap pada Forum Pengkisahan Sejarah ABIM sempena ulang tahun ke-40 pergerakan itu di kampus Universiti Selangor di sini.

Beliau berkata, antara teman seperjuangannya dalam ABIM, bekas presiden PAS Allahyarham Datuk Fadzil Noor merupakan antara yang susah menerima hakikat bahawa Anwar menyertai UMNO, namun hubungan baik antara mereka berdua tetap terpelihara.

Turut hadir pada forum itu ialah presiden pertama ABIM, Dr Razali Nawawi, semasa ABIM ditubuhkan pada 1971. — Bernama