Ramai tak ambil endah

1

Riot saran setiap rakyat daftar dengan Wisma Putra jika ke luar negara

Richard Riot

KUCHING: Setiap rakyat Malaysia yang pergi ke luar negara sama ada untuk bekerja atau melancong disarankan mendaftar dengan Wisma Putra.

Menurut Timbalan Menteri Luar Datuk Richard Riot, tindakan ter-sebut adalah untuk memastikan rakyat Malaysia dapat dijejaki sekiranya apa-apa berlaku.

“Sebelum ini apa yang berlaku adalah kebanyakan rakyat Malaysia apabila pergi ke luar negara tidak mengambil endah untuk mendaftar dengan Wisma Putra.

“Daripada pengalaman kami ke-tika krisis di Mesir, Libya dan krisis-krisis lain, kami merasakan setiap rakyat Malaysia sama ada keluar untuk bekerja atau sekadar melancong perlu mendaftar dengan Wisma Putra,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemu ramah selepas merasmikan Program Penempatan Pekerjaan (3P) anjuran Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dekat sini, semalam.

Menurut Riot yang juga merupakan Ahli Parlimen Serian, rakyat sekarang boleh mendaftar secara atas talian atau mendaftar di Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di luar negara.

“Sekarang, ia adalah mudah kerana orang ramai boleh pergi secara online atau pergi mendaftar di Pesuruhjaya Tinggi di luar negara… namun, ramai yang tidak akan pergi ke Pesuruhjaya Tinggi di negara yang dikunjungi.

“Oleh itu, sebelum mereka bertolak ke luar negara, mereka mesti mendaftar di Kuching.

“Kita sudah mempunyai pejabat dan di Semenanjung mereka mempunyai Wisama Putra supaya apa saja yang berlaku terhadap sesebuah negara, kita dapat mengetahui keadaan rakyat Malaysia yang berada di sana,” jelasnya.

Selain itu, beliau turut menasihati orang ramai agar memberitahu Wisma Putra atau Pesuruhjaya Tinggi di mana mereka akan berada ketika berada di sesebuah negara.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis tersebut, beliau mengucapkan tahniah kepada JTK kerana berjaya menganjurkan majlis tersebut untuk tahun yang kedua dengan jayanya.

Beliau berharap orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mencari pekerjaan.

“Kebiasaannya orang yang mencari kerja pergi ke syarikat-syarikattetapi melalui usaha JTK, kini syarikat-syarikat datang untuk menawarkan pekerjaan kepada orang ramai,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah JTK August Buma yang turut berucap mengingatkan golongan yang baru melangkah ke alam pekerjaan agar tidak terlalu memilih pekerjaan.

Katanya, ia adalah untuk memastikan golongan ini menimba pengalaman bekerja serta mempelajari kemahiran-kemahiran yang penting seperti kemahiran berkomunikasi.

“60 peratus daripada penganggur yang terdiri daripada graduan tidak mendapat pekerjaan disebabkan kurang kemahiran untuk berkomunikasi.

“Pengetahuan tanpa kemahiran adalah penghalang untuk mendapat pekerjaan,” jelasnya.