Site Last Updated 2:00 am, Saturday

Sambutan perayaan keagamaan dalam suasana amat harmoni di Malaysia

Posted on May 18, 2011, Wednesday

SIMBOLIK: Muhyiddin bersama Buddhist Chief High Priest of Malaysia Datuk K Sri Dhammaratana menanam pokok ketika hadir ke Majlis Rumah Terbuka sempena Hari Wesak di Buddhist Maha Vihara di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pelbagai sambutan perayaan keagamaan di negara ini yang disambut dalam suasana amat harmoni sejak begitu lama adalah tanda nyata wujudnya hubungan yang sangat baik lagi harmoni antara masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata asas kepada keharmonian ini serta hubungan baik di antara rakyat pelbagai agama lahir daripada rasa hormat menghormati di hati rakyat terhadap kepercayaan setiap agama di negara ini.

Katanya walaupun Islam adalah agama rasmi Persekutuan tetapi hak-hak setiap rakyat untuk menganut agama masing-masing secara aman dan harmoni adalah juga termaktub dalam perlembagaan negara.

“Ini dapat dilihat dilaksanakan di Malaysia begitu lama…adalah satu perkara lumrah bagi rakyat negara ini bagi mengucap selamat menyambut bagi perayaan agama rakan-rakan agama yang lain,” katanya ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Hari Wesak di Wisma Dharma Cakra, Buddhist Maha Vihara, Brickfields, di sini semalam.

Beliau berkata kerajaan bukan sahaja membenarkan pembinaan tempat-tempat ibadah setiap agama, malah hari-hari perayaan agama juga diberikan cuti umum bagi membolehkan penganut menyambut perayaan dalam suasana harmoni dan aman.

Muhyiddin berkata Hari Wesak yang diisytiharkan sebagai cuti umum bermula 1962 oleh Tunku Abdul Rahman adalah satu bukti jelas betapa kerajaan mengiktiraf kedudukan dan peranan masyarakat penganut agama Buddha di negara lain.

Katanya kira-kira 19 peratus penduduk negara ini adalah penganut agama Buddha, kebanyakannya masyarakat keturunan Cina negara ini.

“Kerajaan menggalakkan masyarakat pelbagai agama mengambil kesempatan menzahirkan penghormatan kepada rakan-rakan lain. Saya harap rasa hormat ini terus disuburkan. Mudah-mudahan rasa hormat mengukuhkan lagi perpaduan dan keharmonian,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau bangga dengan peranan yang dimainkan oleh kepimpinan pelbagai agama di negara ini kerana peranan mereka adalah juga penting dalam memastikan keharmonian antara rakyat akan berterusan yang membantu

keamanan dan kemakmuran negara.

Katanya pengalaman dan kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara masyarakat pelbagai kaum dan agama diketahui dunia.

Muhyiddin berkata pelawat serta pemimpin luar negara sentiasa kagum melihat hubungan baik rakyat pelbagai kepercayaan di negara ini yang menurutnya mungkin mereka melihat sebagai luar biasa.

Malahan, katanya, di Malaysia wujud tempat-tempat ibadah pelbagai agama yang terletak berdekatan di antara satu sama lain seperti di Brickfields ini, dan ia adalah manifestasi dan kesediaan mengiktiraf dan menerima kepelbagaian di negara ini.

Di majlis sambutan ini yang turut dihadiri oleh beberapa menteri dan timbalan menteri, Muhyiddin turut menanam sebatang pokok di perkarangan Wisma Dharma Cakra.

Penganut agama Buddha serta pengunjung lain turut mengambil kesempatan berjabat tangan dengan Timbalan Perdana Menteri.

Sementara itu ribuan penganut agama Buddha, pelancong serta pengunjung lain mula berpusu-pusu mengunjungi sambutan perayaan Hari Wesak sejak awal pagi lagi.

Antara lain mereka mendapatkan restu daripada sami-sami Buddha.

Di GEORGE TOWN, beribu-ribu penganut agama Buddha mengunjungi Persatuan Buddha Malaysia (MBA) di Jalan Burmah dan Persatuan Buddha Pulau Pinang (PBA) di Jalan Anson di sini untuk sembahyang sejak malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Perayaan Hari Wesak Datuk Dr Loh Hock Hun berkata perayaan tahun ini bertemakan “Tanamkan Sifat Baik Hati dan Penyayang, Pupuk Harmoni”, bermula sejak pertengahan bulan lepas.

Beliau berkata perarakan Hari Wesak malam ini dijangka disertai lebih 10,000 penganut Buddha daripada 35 persatuan Buddha di negeri ini.

“Sebanyak 18 kereta berhias dengan bunga teratai dan patung Buddha akan mengetuai perarakan itu yang diikuti oleh penganut agama berkenaan sejauh lebih tujuh kilometer,” kata beliau.

Perarakan itu akan bermula di MBA, melalui Jalan Pangkor, Jalan Kelawei, Lorong Perak, Peel Avenue, Jalan Macalister dan Lorong Madras.

“Kita akan mulakan dengan perarakan kereta berhias dan lilin pada pukul 7 petang dan dijangka berakhir kira-kira 10.30 malam ini,” katanya. — Bernama

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.