Pemeriksaan kesihatan usah pandang remeh

0

KUCHING: RAMAI rakyat Malaysia kurang sedar tentang pentingnya menjaga pemakanan yang seimbang.

AMBIL MAKANAN SIHAT, YA: Dr Aini menilai keputusan keseluruhan ujian kesihatan salah seorang penduduk Kampung Sampun. Gambar kiri menunjukkan para penduduk mendaftar untuk mendapat pemeriksaan kesihatan.

BIASAKAN DIRI: Seorang wanita menahan sakit ketika diambil sampel darahnya.

TINGGI KE?: Salah seorang penduduk, James Buntre Alun, 60, menjalani pemeriksaan tekanan darah.

SELAMAT DATANG: ADUN Asajaya Abdul Karim Rahman Hamzah disambut oleh kakitangan KcSH dan penduduk Sampun semasa perasmian program itu yang ternyata mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan dengan kehadiran ramai penduduk (gambar kiri).

Disebabkan perkara itu, lebih tiga juta penduduk Malaysia mengalami masalah tekanan darah tinggi.

Menurut Dr Aini Murni daripada Kuching Specialist Hospital (KcSH) di Tabuan Stutong, masalah tekanan darah tinggi disebabkan beberapa faktor seperti makan terlalu banyak lemak haiwan (daging dan telur), makanan yang masin dan tekanan hidup.

Jelasnya, pemakanan berlemak boleh menyumbang kepada saluran darah tersumbat yang menyebabkan tekanan darah meningkat.

“Jika kita bandingkan daripada 10 orang rakyat Malaysia seorang daripadanya mengalami masalah tekanan darah tinggi.

“Manakala setiap tahun 10,000 orang mati akibat darah tinggi kerana penyakit darah tinggi adalah pembunuh senyap,” katanya ketika menyampaikan ceramah semasa program kesihatan sempena Hari Jururawat Sedunia di Kampung Sampun, Asajaya baru-baru ini.

Dr Aini menambah, penyakit tekanan darah tinggi tidak mempunyai simptom kepada pesakitnya dan kerana itulah ia diklasifikasikan sebagai pembunuh secara senyap.

“Hanya satu cara untuk mengetahui sama ada kita mengalami tekanan darah tinggi atau tidak iaitu melalui pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya sekali setahun,” katanya.

Kesan daripada tekanan darah tinggi, kata Dr Aini, ia akan menyebabkan saluran darah di bahagian jantung tersumbat yang boleh menyumbangkan kepada serangan jantung kepada pesakit.

Selain itu tambahnya, seseorang yang mengalami masalah tekanan darah tinggi menyebabkan ketidakstabilan diri atau lebih dikenali sebagai serangan angin ahmar.

Beliau menjelaskan, serangan angin ahmar berlaku ekoran saluran darah di bahagian otak sempit yang menyebabkan tekanan darah terlalu tinggi sehingga menyebabkan saluran darah pecah.

Katanya, disebabkan itu, terdapat darah beku di bahagian kepala yang boleh menyebabkan maut.

“Orang yang mengalami penyakit ini kemungkinan besar akan mati secara mengejut,” ujarnya.

Justeru, beliau menyeru kepada rakyat Malaysia supaya menjaga pemakanan dengan mengambil makanan yang sihat dan melakukan pemeriksaan kesihatan.

Dalam program itu, lebih 300 penduduk di kampung sekitar Asajaya menghadiri ceramah dan taklimat menjaga kesihatan yang merupakan anjuran KcSH dengan kerjasama JKKK Kampung Sampun.

Lebih 100 penduduk di situ menjalani pemeriksaan perubatan secara percuma yang bertujuan meningkatkan tahap kesedaran tentang penjagaan kesihatan.

Program itu merupakan acara tahunan KcSH sebagai program kemasyarakatan mereka.

Selain itu, KcSH turut menubuhkan Klinik Wakaf An-Nur di Satok dan Samariang pada 2009 yang menyediakan pemeriksaan, rawatan dan ubat-ubatan dengan yuran serendah RM5 sahaja.