Musim obor-obor peluang tambah rezeki

0

REDAH: Pencari obor-obor dari kawasan Mudong dan Ibus sanggup meredah ombak untuk mengutip obor-obor yang terdampar di sebahagian pulau pasir yang terbentuk apabila air laut surut.

JIKA di bahagian Miri dan Bintulu terkenal dengan musim bubuk atau udang kecil, bagi kawasan pantai di perkampungan Gerigat dan Nyabor, Roban di bahagian Betong, juga tidak kurang hebatnya apabila musim obor-obor tiba.

Haiwan pra sejarah ini merupakan satu hidangan istimewa yang lazat dan mudah disediakan serta mempunyai harga pasaran yang agak tinggi nilainya.

Kesempatan yang bermusim bagi obor-obor ini telah dimanfaatkan oleh penduduk sekitarnya untuk mencari rezeki tambahan dan dikumpul untuk dijadikan makanan mereka kerana ia mampu bertahan dan disimpan pada tempoh masa yang panjang jika diproses dengan cara yang tepat dan betul.

Bagi masyarakat luar yang bukan dari kalangan penduduk kampung nelayan, mencari obor-obor dilakukan mereka dengan menyusuri sepanjang pantai dan mengutip obor-obor yang didapati terdampar di pantai setelah dihanyutkan oleh ombak.

Kebanyakan obor-obor yang didapati terdampar di pesisiran pantai adalah dari jenis obor-obor putih, manakala jenis yang berwarna kemerah-merahan pula hanya boleh didapati di persekitaran perairan yang agak dalam.

Bagi penduduk tempatan untuk mengutip dan memproses obor-obor ini hingga boleh dijadikan makanan memerlukan teknik dan cara yang tersendiri.

Obor-obor yang masih hidup dan baru terdampar di pantai boleh membahayakan jika tidak dikendalikan dengan betul, oleh yang demikian teknik yang biasa digunakan oleh para pengutip ini ialah membiarkan ia terdampar di pantai pada beberapa tempoh masa agar ia mati dan sengatan tidak aktif.

Jika hendak memproses dan menangkapnya dalam keadaan ia hidup sarung tangan boleh digunakan untuk menghalang dari terkena sengatan.

Bahagian tubuh obor-obor yang menjadi pilihan utama pencarinya adalah bahagian kaki, manakala bahagian kepala yang berbentuk bulat atau seperti payung akan dibuang.

Ini kerana bahagian kakinya lebih tahan lama jika disimpan dan tidak mudah susut jika dibandingkan dengan bahagian kepalanya.

Obor-obor yang sudah dikumpul akan dicuci menggunakan air laut itu sendiri bagi membersihkannya dari kotoran seperti pasir.

Teknik mencuci obor-obor dengan menggunakan air laut dan bukan air biasa juga turut mempengaruhi ketahanan obor-obor tersebut dari rosak dan mencair sebelum ia matang untuk dimakan.

Selepas obor-obor itu siap dicuci dan dibersihkan dengan menggunakan air laut, proses selanjutnya dalam memastikan ia tahan untuk disimpan adalah dengan mencampurkan obor-obor tadi dengan garam khas ataupun lebih dikenali di kalangan masyarakat setempat sebagai garam tawas.

Garam tawas ini mempunyai perbezaan yang tersendiri daripada garam biasa dan ia digunakan khas bagi mengawet obor-obor yang telah siap dibersihkan agar tahan lama.

Garam jenis ini biasanya hanya boleh didapati di kawasan perkampungan nelayan yang terdapat kilang khas memproses obor-obor.

Obor-obor yang telah siap diberikan garam tawas pada kadar sukatan yang tertentu akan dibiarkan semalaman dalam satu bekas, sebelum ia dicuci semula dengan lebihan air garam yang terdapat pada bekas menyimpan tadi dan diberi semula garam yang baru dan disimpan pada bekas yang lain.

Kemudian barulah obor-obor terbabit boleh dihidangkan dan ia sesuai dihidangkan bersama dengan buah limau dan bawang merah yang dihiris nipis-nipis berserta dengan cili.

TERDAMPAR: Obor-obor yang terdampar di pantai akan dikumpul sebelum dibersihkan.