Lapor pembalakan di Semadang, Skio kepada SPRM

1

KUCHING: Ahli Parlimen Mambong Datuk James Dawos Mamit semalam meminta Jawatankuasa Bertindak Kampung Semadang dan Kampung Skio mengemukakan segera laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kelulusan lesen pembalakan sebuah syarikat swasta oleh Jabatan Hutan Sarawak (JHS).

Kata Timbalan Menteri Pelancongan itu, kelulusan lesen pembalakan tersebut wujud elemen rasuah kerana lokasi pembalakan iaitu di sekitar kawasan hutan di kedua-dua kampung terbabit telah diwartakan sebagai kawasan tadahan air.

Selain itu, beliau turut menggesa jawatankuasa bertindak kedua-dua kampung supaya melantik peguam agar perkara itu dapat dikemukakan kepada pihak JHS untuk menarik balik lesen pembalakan terbabit.

“Undang-undang menetapkan pembalakan tidak boleh dilakukan di kawasan yang diwartakan sebagai kawasan tadahan air.

“Tetapi kenapa lesen pembalakan ini dapat diluluskan, maka besar kemungkinan wujud elemen rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya kepada Ketua Kampung Semadang Samson Manggang, Ketua Kampung Skio Penghulu Penrissen Rimong Sutur, Penghulu Krokong/ Tringgus Dihoi Nyawen serta ahli-ahli jawatankuasa bertindak kedua-dua kampung.

Dawos menerima kunjungan delegasi daripada kedua-dua kampung terlibat di pejabatnya di sini semalam sebagai tindakan bantahan terhadap aktiviti pembalakan yang dijangka memasuki kawasan tersebut tidak lama lagi.

Menurut beliau, sejak 1980-an lagi kawasan hutan di sekitar Kampung Semadang dan Kampung Skio telah menjadi buruan syarikat-syarikat pembalakan namun semuanya ditolak ekoran kawasan tersebut merupakan kawasan tadahan air yang diwartakan.

Mengulas aktiviti pembalakan me-libatkan kawasan tanah kerajaan, Dawos berkata pihak berkaitan harus membuktikan kesahihan tanah tersebut terlebih dahulu kepada pihak kampung terlibat.

“Kalau ia di tanah kerajaan, buktikan dulu… pembalakan boleh di- buat, tetapi mereka harus mengangkutnya melalui udara menggunakan helikopter,” katanya.

Berdasarkan lesen bernombor T/ 8497 yang diluluskan JHS di bawah Ordinan Hutan Seksyen 49 dan 51 bertarikh 14 April 2011 dan tamat tempoh 13 April 2012, lokasi pembalakan melibatkan tanah kerajaan antara Sungai Tu dan Sungai Sanga Kampung Semadang – Skio di bahagian barat Sungai Sarawak Kiri dengan keluasan 2,112 hektar.

Berhubung isu pembalakan Krokong – Tringgus Bau yang mana pembinaan jalan balak sudah dibina sejak tahun lepas, Dawos menyifatkan ia dilakukan oleh pihak gengster.

“Lesen pembalakan ini sudah dibatalkan sejak 15 tahun lalu, tetapi ia masih dilaksanakan dan ini adalah perbuatan kumpulan samseng,” katanya sambil menambah kegiatan tersebut juga melibatkan unsur rasuah.