LSS jamin keselamatan trafik sungai

1

Operasi dilancar di kawasan sesak penumpang menjelang Gawai

KUCHING: Lembaga Sungai- sungai Sarawak (LSS) akan melancarkan operasi penguatkuasaan di kawasan yang dijangka sesak dengan penumpang untuk jaminan keselamatan trafik sungai menjelang sambutan Hari Gawai 2011.

Terminal-terminal yang akan ditempatkan dengan anggota penguatkuasaan maksimum ialah Terminal Penumpang Sibu, Kapit, Song, Kanowit, Sarikei, Kuching, Bintulu dan Marudi.

Pengerusi LSS Roland Sagah dalam kenyataan medianya semalam berkata selain operasi di terminal, LSS juga akan mengendalikan pemantauan di sungai-sungai tertentu dengan melaksanakan sekatan sungai di kawasan strategik.

Operasi keselamatan trafik sungai ini akan dijalankan mulai 27 Mei 2011 sehingga 31 Mei 2011 dan 11 Jun 2011 hingga 12 Jun 2011 di seluruh negeri.

Menurutnya, LSS telah mengenal pasti terminal-terminal yang akan mengalami kesesakan dan kesibukan pada musim Gawai tahun ini berdasarkan rekod pada tahun sebelumnya.

Dianggarkan kira-kira 10,000 orang penumpang serta orang ramai akan berurusan di Terminal Penumpang Sibu sehari pada musim perayaan Gawai tahun lalu dan jumlahnya dijangka tidak jauh berbeza pada tahun ini.

Bagi pengguna bot ekspres yang menggunakan Terminal Penumpang Sibu untuk ke Kapit, jadual bot pertama yang bertolak dari terminal tersebut ialah jam 5.45 pagi dan bot terakhirnya pula ialah jam 2.15 petang.

“Selaku pengerusi LSS saya ingin menasihatkan pengguna pengangkutan sungai agar tidak menaiki bot yang telah penuh, merancang perjalanan pada masa yang sesuai bagi mengelak kesesakan serta mematuhi segala arahan daripada petugas LSS.

“Bagi orang ramai yang menggunakan bot terbuka, saya menasihatkan mereka agar sentiasa menggunakan jaket keselamatan semasa dalam pelayaran.

“Pemilik pula pastikan jumlah jaket keselamatan mencukupi untuk semua penumpang,” nasihatnya.

Jika pengusaha bot penumpang perlu membuat perjalanan tambahan, sila berhubung terus dengan pejabat-pejabat LSS wilayah yang berhampiran untuk kelulusan.

LSS berharap agar semua pengusaha bot dan penumpang dapat berkerjasama untuk kelicinan pergerakan ke destinasi masing-masing dan berhati-hati untuk mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.