Lubuk ikan kembangkan ekopelancongan Tg Manis

0

UNTUKMU: Sarudu menyampaikan cenderamata kepada Len Talif sebagai tanda kenangan sempena Safari Memancing Tanjung Manis 2011.

SARIKEI: Imej Tanjung Manis dan Tanjung Sirik sebagai lubuk ikan telah mulai dikenali di kalangan kaki pancing dan kelebihan ini merupakan satu tiket yang berpotensi untuk memperkembangkan lagi aktiviti ekopelancongan di Tanjung Manis dan kawasan sekitarnya.

Ini juga merupakan salah satu strategi sokongan dalam memastikan Tanjung Manis bukan hanya berkembang daripada segi industri hab halal dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) tetapi turut maju daripada semua aspek.

Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) Datu Sarudu Hoklai berkata, selain aktiviti memancing dan perikanan, Tanjung Manis juga bakal menjadi pusat pelancongan sukan berdasarkan kelebihan yang ada di kawasan ini.

“Dalam memastikan usaha ini berjalan dengan lancar, strategi sokongan yang lain harus dilakukan seperti membangunkan aktiviti riadah yang lain seperti homestay (inap desa) di dalam kapal dan mewujudkan lokasi perkhemahan serta kemudahan lain khusus untuk kaki-kaki pancing.

“Di samping itu, pembangunan bagi masyarakat tempatan juga jangan ditinggalkan terutama dengan mewujudkan dan memberi peluang perniagaan kepada penduduk sekitar Tanjung Manis bagi menaik taraf ekonomi mereka.

“Penglibatan dan kerjasama pelbagai agensi, diharap akan mampu merancakkan lagi perancangan dalam memajukan sukan memancing ini dengan penyediaan lebih banyak kapal dan kemudahan lain dengan lebih baik dan sesuai dengan keadaan laut di kawasan Tanjung Manis,” kata Sarudu.

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan semasa majlis penutupan rasmi Safari Memancing Tanjung Manis 2011 baru-baru ini.

Safari Memancing Tanjung Manis disertai 105 peserta.

Selain daripada aktiviti memancing terdapat aktiviti lain yang turut diadakan bagi memeriahkan lagi majlis tersebut seperti pertandingan karaoke dan pertandingan poco-poco.

“Kami akan menubuhkan satu jawatankuasa protem yang melibatkan pelbagai agensi dan wakil rakyat di kawasan ini untuk membincangkan dengan lebih mendalam mengenai penganjuran aktiviti Safari Memancing Tanjung Manis pada tahun depan agar ia lebih meriah dan berprestij,” ujarnya.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.36 Semop Datu Len Talif Salleh, Pegawai Tadbir Daerah Belawai Abang Mohamad Abang Turki, Pengurus Wilayah Tengah PUSAKA Paul Lau Ngie Hung, Pengurus Besar Tanjung Manis Development Maliki Mahli serta sekitar 1,000 orang masyarakat setempat.