Perpaduan kukuh, politik stabil kunci utama pembangunan, kemakmuran

0

SYUKUR: Talib dan isteri (tengah) memotong kek bersama tetamu lain dalam majlis kesyukuran kemenangannya.

BINTULU: Perpaduan yang kukuh antara rakyat dan politik yang stabil adalah kunci utama kepada pembangunan dan kemakmuran negara ini.

Menteri Muda Pelancongan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip berkata, perpaduan antara rakyat pelbagai kaum di negara ini satu keistimewaan yang telah membawa kepada keadaan politik yang stabil.

“Politik yang stabil amat penting kerana apabila negara ini stabil, pelabur akan datang dan melabur wang mereka dan ekonomi negara pula terus tumbuh,” ujarnya ketika berucap dalam majlis kesyukuran atas kemenangannya mengekalkan kerusi DUN Jepak  dalam pilihan raya negeri lalu di Dewan Suarah Bintulu, malam kelmarin.

Beliau menggesa rakyat terus memilih kestabilan dan pembangunan dengan bekerjasama dengan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau turut mengucapkan rasa terima kasih dan tahniah kepada pengundi di kawasan Jepak kerana kematangan dan keyakinan mereka mengundi BN dalam usaha untuk membawa lebih banyak pembangunan di konstituensi itu.

“Meskipun kita menghadapi masa yang sukar semasa pilihan raya, kita akhirnya dapat menang lebih daripada majoriti dua pertiga,” ujarnya.

Talib berkata, kemenangan itu adalah untuk semua rakyat yang mahukan pembangunan dan keamanan berbanding pembangkang yang cuba menanam politik kebencian khususnya semasa kempen mereka.

Turut hadir isteri Talib, Datin Dr Zaliha Abdullah, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Datu Mohidin Ishak,

Pengerusi Saberkas Daerah Bintulu Dato Paul Teo, Temenggung Abang Suhaili Abang Mohamad dan ahli-ahli PBB Jepak.