Gatal disyaki kena air tercemar

2

Penduduk Kpg Subak alami masalah merah di badan setelah tangkap ikan di Sg Nibong

DIJANGKITI: Keadaan kedua-dua kaki Noriah kerana masalah gatal.

MIRI: Penduduk Kampung Subak, Bekenu mengalami masalah gatal dan merah di badan setelah menangkap ikan di sungai kampung itu, Sungai Nibong yang di-khuatiri telah dicemari oleh sisa-sisa buangan dari kawasan pusat pelupusan dan pengurusan sampah di kawasan mereka.

Penduduk mengadu mengalami jangkitan gatal di badan mereka setelah mengunjungi sungai itu beberapa hari lalu.

Kampung Subak terletak lebih kurang sejam perjalanan dari bandar raya Miri, di mana sebahagian besar penduduk gemar menggunakan sungai berkenaan untuk mandi dan menangkap ikan.

Suri rumah, Noriah Ahmad mengadu mengalami kegatalan di kedua-dua belah kaki setelah berada di dalam sungai itu untuk menangkap ikan.

“Kaki saya berasa gatal dan menjadi kemerahan sehari selepas menangkap ikan di su-ngai itu,” ceritanya kepada pemberita semalam.

Noriah memberitahu, sungai tersebut telah tercemar, berdasarkan kepada warna airnya yang bertukar coklat dan berbau.

Penduduk mendakwa dan percaya, sungai mereka telah dicemari sisa buangan dari pusat pelupusan sampah  Sibuti.

Sehubungan itu, penduduk berharap pihak berkuasa seperti Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) memeriksa tahap kebersihan sungai mereka sekali gus memastikan sungai tersebut selamat dikunjungi.

Pengadu, Roy Asid yang mengalami kegatalan di badan dan perut mendakwa terkena jangkitan itu setelah menangkap ikan di sungai berke- naan.

“Sehingga hari ini, masalah gatal di badan dan perut saya tidak dapat dirawat setelah beberapa kali cuba mendapat rawatan di klinik,” jelasnya.

Beberapa penduduk yang ditemui berkata, mereka bernasib baik kerana tidak bergantung kepada sungai ber-kenaan untuk minum ataupun mencuci pakaian kerana kampung mereka dibekalkan air paip.

Mereka mendapati sungai kesayangan mereka itu juga tidak selamat untuk hidupan sungai yang didapati banyak terapung mati akibat pencemaran yang teruk.