Atlet S’wak bebas keracunan makanan

0

KUALA LUMPUR: Para atlet Sarawak yang berjuang pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-14 di sini diakui bebas daripada keracunan makanan dan cirit-birit.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Francis Nyurang Ding berkata sehingga semalam pihaknya tiada menerima sebarang laporan mengenai kejadian keracunan makanan yang membabitkan atlet-atlet negeri.

Menurut Francis, atlet-atlet Sarawak juga ditempatkan bersama-sama para atlet lain di perkampungan sukan iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

“Setakat hari ini (semalam) saya tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian keracunan makanan membabitkan atlet-atlet kita.

“Justeru, saya memastikan bahawa semua atlet kita yang berjuang pada temasya Sukma XIV di sini bebas daripada keracunan makanan atau cirit-birit,” katanya semalam.

Bagaimanapun, Francis berkata pihak MSNS akan memantau dari semasa ke semasa mengenai perkembangan para atlet negeri bagi menjaminkan kesihatan mereka sentiasa dalam keadaan baik.

Beliau yang juga pengarah operasi kontinjen Sukma Sarawak memberitahu bahawa kejadian keracunan yang dilaporkan media semalam adalah segelintir sahaja membabitkan atlet negeri Melaka.

“Saya percaya atlet-atlet kita akan sentiasa menjaga pemakanan mereka sepanjang berada di sini untuk memastikan cabaran kita pada Sukma XIV kali ini berjalan dengan lancar,” katanya.