M’sia berperanan besar pastikan keamanan global

0

Komitmen sudah ditunjukkan dan bukan hanya retorik tetapi disokong dengan tindakan, kata Najib

SINGAPURA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia begitu komited untuk memainkan peranan yang lebih besar bagi memastikan keamanan dan keselamatan global.

“Malaysia telah dan akan terus memainkan peranannya sebagai warga global yang bertanggungjawab.

“Dan kita telah menunjukkan dan akan terus mempamerkan bahawa komitmen kita bukan hanya retorik tetapi disokong dengan tindakan,” kata Najib dalam ucaptamanya pada pembukaan Shangri-La Dialog ke-10 Institut Antarabangsa Bagi Kajian Strategik (IISS) di sini, malam tadi.

Dalam usaha menjamin keamanan dunia, Najib berkata misi pengaman Malaysia telah berkhidmat di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), dan dari Somalia hingga ke Balkan, pegawai keselamatan Malaysia telah membuat pengorbanan besar dalam usaha memastikan kestabilan global.

“Tapi tugas kami bukan setakat peranan pengaman. Malaysia menyumbang banyak, kadangkala lebih daripada luar jangkaan – sebagai contoh di Afghanistan, di mana kami memainkan peranan dalam pemulihan semula sebuah negara dengan menghantar pegawai perubatan wanita Islam yang amat diperlukan,” katanya.

Dalam usaha memerangi keganasan global, Najib menjelaskan bahawa Malaysia juga memainkan peranan aktif dan proaktif dalam memastikan Malaysia tidak menjadi sama ada sebagai tempat tumpuan dan begitu juga sebagai sebuah pusattransit untuk operasi pengganas.

“Ini dibuat sama ada secara aktif atau melalui perkongsian risikan dengan sistem keselamatan serantau. Kita telah membantu dengan penangkapan atau menghapuskan pengganas-pengganas seperti Mas Slamat, Dr Azhari dan Nordin Mat Top,” katanya.

Dengan memberi contoh Selatan Filipina, Najib berkata Malaysia telah meletakkan satu pasukan pemantau antarabangsa dan bertindak sebagai orang tengah dengan menjadi hos perundingan damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

“Perkara ini pada satu ketika menjadi satu isu yang sensitif bagi kami, tapi kami komited untuk menjadi pendahulu demi kepentingan bagi keamanan dan kestabilan yang lebih meluas.

“Dan di selatan Thailand, kami telah menyatakan kesediaan untuk membantu  pembangunan sosioekonomi di empat wilayah yang majoritinya penduduk adalah orang Islam,” katanya.

Secara dua hala, Najib berkata Malaysia sedang bekerjasama dengan Amerika Syarikat bagi memerangi jenayah seperti pengedaran dadah, keganasan dan penipuan dan dengan Australia bagi menanangani isu pemohon suaka dan bagi menjalin kestabilan serantau.

Bagi perbincangan berbilang hala, beliau mengumumkan bahawa Malaysia sedang berusaha untuk menguat kuasa resolusi Majlis Keselamatan PBB berhubung pengawalan senjata pemusnah besar-besaran melalui “Akta Perdagangan Strategik baru kita.”

“Saya berazam bahawa kami akan memainkan peranan kami sebagai anggotaantarabangsa dan komuniti serantau yang bertanggungjawab dan bahawa dalamsemangat pengisytiharan 1995, kami akan bersama-sama menjadikan ASEAN sebuah zon bebas nuklear,” katanya.

Memandangkan ekonomi dunia yang begitu bersepadu dan saling bergantung dan proses pengeluaran disebarkan merentas sempadan, Najib berkata ia sudah tidak lagi wajar bagi kuasa-kuasa global untuk melancarkan perang kerana mereka sememangnya akan mengalami kerugian besar.

Kepentingan nasional semakin menjadi kepentingan bersama dan tugas masyarakat dunia kini adalah bagi menggambarkan usaha ini sebagai multilateralisme yang kedua-duanya begitu realistik dan progresif.

Oleh itu, beliau berkata ia perlu dibina di atas landasan kerjasama dan bukan di atas konfrontasi dan untuk itu setiap rantau, negara dan para pemimpinnya di sini hari ini mesti memainkan peranan masing-masing.

“Pendapat yang sinis bahawa Asia dan Barat tidak mungkin dapat bekerjasama secara bersepadu dan bahawa kita tidak mempunyai banyak persamaan, bahawa kehidupan di Surabaya sememangnya begitu terpencil daripada kehidupan di San Diego, 10 tahun kebelakangan ini telah membuktikan bahawa mereka telah tersilap,” katanya. — Bernama