Jangan hanya pentingkan kelompok sendiri

0

Kerajaan tidak berkompromi terhadap semua pihak yang mainkan isu kaum dan agama

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan berkompromi denga kelompok-kelompok tertentu yang bertindak semata-mata atas perhitungan untuk kepentingan kumpulan mereka sahaja tanpa sedar kesannya ke atas kesejahteraan negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata kerajaan ingin mengingatkan kepada semua pihak yang tanpa rasa bertanggungjawab memainkan isu perkauman dan keagamaan sama ada secara terang atau halus, bahawa mereka sebenarnya bermain dengan permainan yang amat berbahaya.

“Mereka sedang memperjudikan untung nasib masa depan anak cucu kita, danakhirnya nanti, yang kalah jadi abu dan yang menang jadi arang,” katanya dalam ucapannya pada majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan penganugerahan darjah dan pingat kebesaran sempena hari keputeraan baginda di Istana Negara di sini, semalam.

Perdana Menteri berkata jika itu yang didambakan, “maka Malaysia yang akan diwariskan kepada generasi mendatang adalah Malaysia yang gagal dan berpecah belah.”

“Tidakkah seharusnya kita belajar daripada apa yang berlaku di tempat-tempat lain seperti di kawasan Balkan, benua Eropah dan janganlah pula tidak beriktibar dengan satu tragedi hitam yang telah mencemari lipatan sejarah negara tercinta ini,” katanya.

Perdana Menteri turut mengingatkan supaya jangan ada yang cuba menangguk di air keruh.

Katanya setelah kerajaan bersusah payah membina dan memelihara hubungan ampuh selama puluhan tahun, pastinya kerajaan tidak akan berkompromi sebaliknya menolak sebarang usaha kelompok tertentu yang bertindak untuk kepentingan kumpulan mereka sahaja sehingga tidak sedar akan natijah buruknya kepada kumpulan yang ramai yakni rakyat Malaysia dan kesejahteraan negara.

“Suka atau tidak suka, sebelum yang tersambung bergenting putus, sebelum yang terkemas pecah berserak, kerajaan pasti terus berwaspada dan tanpa berlengah mengambil langkah-langkah pembetulan yang wajar.

“Apa yang pasti, usaha murni sedemikian menuntut keberanian moral dan politik daripada semua pihak atas nama Malaysia,” kata Najib.

Beliau berkata malah kerajaan dalam membuat sebarang dasar, sentiasa memperkirakan faktor perbezaan yang wujud sebagai satu perhitungan penting.

“Sebetulnya, dengan sekadar menutup sebelah mata sambil mengharapkan perpaduan terus mekar subur tanpa peranan proaktif oleh pihak kerajaan beserta pemimpin masyarakat daripada semua kaum, akan hanya menjanjikan sebuah tragedi,” tegasnya.

Najib berkata satu usaha utama kerajaan adalah untuk terus memacu kemajuan, mengelakkan berlakunya pertembungan budaya, meningkatkan persefahaman, selanjutnya meraikan perbezaan yang wujud di kalangan rakyat dengan berkongsi apa yang dimiliki.

“Hakikatnya, perpaduan nasional adalah prasyarat yang tiada galang ganti sementelahan survival nasional berpasak kepada perpaduan,” katanya,

Beliau juga berkata perkongsian hidup pelbagai kaum di negara ini  tidak terbentuk secara semula jadi, malah dibentuk oleh rencamnya persekitaran, peristiwa dan episod-episod sejarah, dan kemajmukan Malaysia adalah satu realiti.

“Soalnya hanyalah, sama ada kita memilih untuk menjadikannya satu pemangkin ke arah kemakmuran  dan masa depan yang lebih baik untuk diri dan anak cucu kita, atau, satu sumber polarisasi yang tidak berkesudahan, semuanya bergantung kepada keputusan yang kita perbuat dan sikap yang  kita ambil,” katanya. — Bernama