Site Last Updated 11:49 am, Sunday

Penanaman lada digalak di Sabah

Posted on June 8, 2011, Wednesday

Kajian sedang dijalan di Penampang, satu kawasan baru dikenal pasti

SIBU: Lembaga Lada Malaysia (LLM) merancang untuk menggalakkan penanaman lada dengan agresif di Sabah, kata Pengerusinya Datuk Alexander Nanta Linggi.

Alexander berkata kajian, termasuk tinjauan kesesuaian tanah sedang dijalankan di Penampang, satu daripada kawasan-kawasan baru yang dikenal pasti.

“Langkah itu diambil atas permintaan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok, yang mahu melihat kawasan yang lebih luas ditanam dengan tanaman ini di seluruh negara,” katanya pada satu taklimat media di sini semalam.

Beliau berkata lada ternyata mempunyai masa depan kerana sekarang ini ia dijual pada harga runcit kira-kira RM22,000 satu tan metrik.

“Harga itu boleh dikekalkan dan MPB berhasrat menambah bilangan peladang dan usahawan yang terlibat serta meningkatkan pengeluaran negara.

“Pada masa ini, Sarawak adalah pengeluar utama diikuti oleh Johor,” katanya.

Menurut laman sesawang lembaga itu, sebanyak 60,000 keluarga di pedalaman Sarawak terlibat dengan tanaman ini dengan 13,500 hektar telah pun ditanam dengan lada.

Pengeluaran tahunan negara berjumlah kira-kira 25,000 tan metrik, dan lebih 90 peratus dieksport ke lebih 40 negara di seluruh dunia termasuk Jepun, AS, Sepanyol, Taiwan, Korea Selatan, Kanada dan Australia.

Alexander berkata MPB juga sedang menjalankan kajian bagi penggunaan lebih banyak mesin di ladang selain projek penyelidikan dan pembangunan lain.

“Misalnya, kami telah mencipta dua hingga tiga tiang prototaip bagi penumbuhan pokok lada untuk menggantikan tiang tradisi daripada kayu belian (spesies kayu keras) yang kini semakin mahal.

“Ia adalah daripada jenis konkrit dan gentian yang siap dipasang dengan sistem pembajaan. Kami telah menjalankan ujian di ladang, antara lain, untuk menentukan ia praktikal dan tahan lama,” jelas beliau.

Sementara itu, katanya, penggunaan tanah alternatif semakin mengurangkan keluasan tanaman itu di Sarawak sekarang.

“Di tempat-tempat seperti Serian dekat Kuching, kebun-kebun lada di kawasan-kawasan utama semakin digantikan dengan kawasan perumahan.

“Inilah sebabnya kami mengalihkan perhatian kami kepada lebih banyak kawasan pedalaman di bandar-bandar seperti Sarikei, Betong, Kuching dan sedikit di Kapit yang masih merupakan kawasan penanaman utama di negeri ini,” jelasnya.

Beliau berkata LLM bersedia memberikan input dalam bentuk baja serta peralatan penebangan dan perladangan kepada mereka yang berminat.

Alexander berkata, pada keseluruhannya, peladang-peladang masih takut untuk menanam secara besar-besaran kerana masalah seperti penyakit akar pokok masih merupakan risiko yang besar. — Bernama

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.