Pengarah, pegawai kesihatan berkampung di Mukah

0

MUKAH: Seramai 60 orang terdiri daripada pengarah hospital, pegawai kesihatan bahagian serta pegawai pergigian dari seluruh Sarawak dan ketua-ketua Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah menghadiri Mesyuarat Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Bersama Ketua Pusat Bertanggungjawab (PTJ) yang berlangsung di salah sebuah hotel di sini, semalam.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr Zulkifli Jantan itu turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak (Kesihatan Awam), Dr Jamilah Hashim dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak (Pengurusan) Ahmad Abd Hamid.

Turut dilangsungkan ialah Mesyuarat Jawatankuasa Keutuhan Tadbir Urus Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) Bil 2/2011, Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Aset Alih Kerajaan JKNS Bil 2/2011 dan Mesyuarat Pembangunan JKNS Bil 2/2011.

Bersempena mesyuarat itu, Majlis Makan Malam dan Penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang juga akan diadakan khas buat warga perubatan di bahagian ini pada malam esok, 9 Jun bertempat di Hotel Kingwood, di sini.

Dalam perkembangan lain, Dr Zulkifli turut berkesempatan mengadakan lawatan ke Hospital Mukah serta mengadakan sesi dialog bersama ketua-ketua Unit Pejabat Kesihatan Bahagian Mukah, Hospital Mukah dan Pejabat Pergigian Bahagian Mukah kelmarin.

Sejurus itu, rombongan mengadakan lawatan kerja ke Hospital Dalat.