18 penziarah Islam mati digilis trak

0

TRAGEDI MENYAYAT HATI: Saudara-mara berhimpun di Hospital PHC di Dholka, kira-kira 40 kilo-meter dari Ahmedabad semalam untuk mengenal pasti ahli keluarga mereka yang terbunuh akibat digilis oleh trak ketika tidur di tepi jalan. — Gambar AFP

AHMEDABAD: Sebuah trak yang dipandu laju di barat India melanggar dan membunuh 18 penziarah Islam yang sedang tidur di tepi jalan pada awal pagi semalam, kata polis.

Mangsa sedang dalam perjalanan ke satu perayaan di sebuah makam yang terletak 90 kilometer dari Ahmedabad, kota terbesar di negeri Gujarat, apabila mereka singgah dekat sebuah kafe lebuh raya untuk bermalam.

“Pada keseluruhannya, 18 orang sudah mati, termasuk sembilan wanita. Sepuluh lagi cedera,” kata seorang pegawai polis Gujarat yang enggan dikenali kepada AFP.

“Semua penziarah berjalan kaki. Seramai 16 orang mati di tempat kejadian apabila trak berkenaan melanggar mereka, dan dua orang lagi meninggal dunia di sebuah hospital tempatan,” katanya.

Ambulans yang bergegas untuk membantu mangsa dihalang oleh orang ramai yang berhimpun di tempat kemalangan. Polis berkata, pemandu trak dan kelindannya lari dari tempat tersebut.

Sekitar 125,000 orang, atau kira-kira 350 orang sehari, mati di jalan-jalan di India pada 2009, demikian menurut statistik terbaru dari Biro Rekod Jenayah Kebangsaan.

Kelmarin, sebuah bas terjunam dari sebuah jambatan dan terbakar di negeri selatan Tamil Nadu, dan membunuh 22 orang, selepas pemandu-nya cuba mengelak pelanggaran lain. — AFP