8 askar, 10 Taliban terbunuh dalam serbuan di Pakistan

0

PESHAWAR: Lapan anggota tentera dan sekurang-kurangnya 10 anggota Taliban terbunuh selepas puak militan menyerang sebuah pos pemeriksaan keselamatan di Pakistan di wilayah suku kaum yang dilanda pemberontakan sebelum subuh semalam, kata pegawai ke-selamatan tempatan.

Lebih 100 anggota Taliban bersenjata pelancar roket dan senjata canggih lain menyerang pos tersebut di Waziristan Selatan di sepanjang sempadan Afghan, yang mencetuskan pertempuran selama lebih tiga jam.

“Lapan askar terbunuh dan 10 lagi cedera dalam serangan tersebut. Lebih 10 anggota Taliban turut terkorban dalam serangan balas,” kata seorang pegawai keselamatan di Peshawar, bandar utama di barat laut Pakistan, kepada AFP.

Seorang lagi pegawai ke-selamatan di Wana, bandar utama di daerah suku kaum, mengesahkan insiden itu dan mangsa.

Serangan berlaku di Marubi, sekitar 40 kilometer dari sempadan Afghan. Kawasan kejadian bersebelahan dengan Waziristan Utara di mana Amerika Syarikat sedang menekan Pakistan untuk me-lancarkan operasi ketenteraan besar-besaran.

Taliban dan puak militan lain yang ada kaitan dengan Al-Qaeda telah mewujudkan kubu kuat di kedua-dua bahagian sempadan rapuh antara Afghanistan-Pakistan, wilayah yang di anggap pa-ling berbahaya di Bumi oleh Washington.

Tentera Pakistan melancarkan operasi pada tahun lepas di beberapa tempat di Waziristan Selatan yang menyasari markas puak utama Taliban di negara tersebut, ekoran peningkatan dalam serangan bom militan pada hujung 2009.

Namun ramai ketua Taliban dan askar mereka dipercayai sudah lari ke Waziristan Utara.

Leftenan Jeneral Asif Yasin Malik, ketua kor Pakistan yang menyelia semua operasi di wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa, pada minggu lepas menepis ‘cakap-cakap’ mengenai prospek bagi ope-rasi yang bakal dilancarkan di Waziristan Utara.

“Kami akan melancarkan operasi di Waziristan Utara bila kami mahu berbuat demikian,” katanya kepada wartawan. — AFP