Animasi perkenal anugerah iktiraf penggiat seni animasi

0

PERSATUAN Animasi Malaysia (ANIMAS) buat pertama kalinya memperkenalkan beberapa anugerah bagi mengiktiraf sumbangan penggiat seni animasi tempatan sempena majlis penghargaan Karyawan Animasi pada25 Jun ini.

Presiden ANIMAS Kamm Ismail berkata anugerah itu akan dibahagikan kepada 12 kategori karyawan dan empat anugerah khas.

Kategori anugerah itu antaranya bagi pereka watak pelukis, penulis skrip animasi, pelukis ‘storyboard’, pencapaian animasi terbaik, tokoh animasi dan watak animasi fenomena.

Katanya, selain ANIMAS, majlis penghargaan itu diadakan dengan kerjasama Perbadanan Filem Nasional (FINAS) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM)

“Pertandingan ini bukan sahaja terbuka kepada ahli ANIMAS, tetapi kepada semua penggiat animasi yang berminat. Pemenang akan menerima hadiah berupa trofi penghargaan serta wang tunai sumbangan FINAS,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pameran Animasi di Perpusatakaan Negara di Kuala Lumpur.

Ia dirasmikan Ketua Pengarah Filem Negara Raja Rozaimie Dalnish Shah.

Pameran yang bertemakan ‘Animasi Menjana Kreativiti’ akan diadakan selama sebulan bermula esok dengan pelbagai aktiviti termasuk ceramah Animasi ‘Stop Motion’, Bengkel Asas Pembinaan dan Lukisan Watak Animasi, Bengkel Asas Animasi untuk Kanak-Kanak, Ceramah Cerita dan Kanak-Kanak, Forum Kandungan Animasi Berciri Tempatan, Ceramah Animasi dan Perkembangan Filem Cereka, Ceramah Dari Konsep ke Visualisasi, Forum Kerjaya dalam Animasi: Peluang dan Harapan.

Turut hadir Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia Datuk Raslin Abu Bakar. — Bernama