Mangsa bunuh di kem pembalakan selamat dikebumi

1

PENGHORMATAN TERAKHIR: Dennis (kanan) ditemani ahli keluarga melihat mayat mendiang Roland buat kali terakhir sebelum dikebumikan di Riam semalam.

MIRI: Mayat mendiang Roland Ajeng Juk yang disyaki telah dibunuh di kem pembalakan di Kilometer 200, Baram pada 1 Jun lalu, telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Sidang Injil Borneo (SIB) Riam di sini semalam.

Upacara pengebumian dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau dan Penghulu Ajang Wan, balu Margrete Ubong Laing dan bapa mentua balu, Jong Eng,

Dianggarkan seramai 100 tetamu terdiri ahli keluarga, sanak saudara dan rakan taulan hadir pada upacara tersebut untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang.

Roland, 29, bekerja sebagai tukang sukat kayu balak di salah sebuah syarikat pembalakan tempatan. Mangsa yang berasal dari Long Kesseh, ditemui meninggal dunia di kem pembalakan dengan pelbagai kesan kecederaan.

Ketua Polis Daerah Baram, Timbalan Superintenden, Abu Bakar Mokhtar yang dihubungi mengklasifikasikan kes sebagai kes bunuh dan kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kita telah melakukan bedah siasat di Hospital Miri. Bagaimanapun, kita masih memerlukan banyak maklumat. Salahfaham dan mabuk semasa sabung ayam antara punca kejadian ini,” jelasnya semalam.

Beliau memberitahu, suspek yang juga merupakan sepupu mangsa telah ditahan untuk siasatan lanjut kes ini.

Polis katanya akan mendapatkan perintah dari mahkamah untuk melanjutkan tempoh tahanan reman terhadap suspek Selain isteri, mangsa turut meninggalkan dua anak lelaki berusia empat dan enam tahun.