PBB tidak boleh dabik dada

0

Tidak boleh terlalu yakin menang PRU Ke-13, strategi dan jaringan parti pembangkang semakin luas dan kuat

KENANGAN: Fatimah (duduk tengah), Dennis (empat kiri, barisan tengah), Ripin (enam kiri, barisan tengah) bergambar bersama wanita PBB dan tetamu lain.

MIRI: PBB tidak boleh mendabik dada dan terlalu yakin untuk menang besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

Timbalan Ketua Wanita PBB Datin Fatimah Abdullah berkata, PBB sekarang berdepan cabaran  strategi dan jaringan parti pembangkang yang semakin luas dan kuat yang seharusnya dijadikan fokus utama perjuangan parti.

“Kita tidak boleh bekerja cara lama. Kita perlu sesuaikan diri kita dengan perubahan untuk berdepan dengan strategi pembangkang.

“Pembangkang begitu fokus dan bersungguh-sungguh untuk menang di setiap kawasan mereka.

“Oleh itu PBB tidak boleh dabik dada. Tidak ada jaminan kalau kita tidak bekerja keras kerana networking pembangkang sekarang begitu bagus,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Perjumpaan Muhibah dan Sesi Dialog Bersama Wanita PBB Miri di sini petang semalam.

Peranan wanita PBB dengan memperkuatkan strategi dan sokongan ahli juga penting untuk memastikan kemenangan parti itu dalam PRU.

Semangat penyatuan dalam PBB harus kukuh agar ahli terus yakin terhadap perjuangan parti dan menyokong parti dalam pilihan raya.

“Terdapat kumpulan-kumpulan yang berkecil hati dalam PBB. Mereka ini secara tiba-tiba tidak memberi sokongan kepada kita.

“Oleh itu kita harus pastikan ahli kita bersatu dan tidak hilang fokus. Kita harus pastikan penyokong kita menyokong kita,” jelasnya.

Pembangkang katanya sekarang giat merekrut ahli-ahli baru untuk memperkuatkan sokongan mereka khasnya dalam berdepan PRU dan usaha serupa juga harus dilakukan oleh PBB.

PBB tidak dapat bergantung sepenuhnya kepada ahli-ahli lama dan wanita PBB harus memainkan peranan mereka menambah keahlian PBB di setiap kerusi.

“Kita tidak boleh perlekehkan hal ini (merekrut ahli dan pengundi baru). Kita perlu fikir cara untuk mendapat sokongan rakyat iaitu peraih undi yang berkesan,” jelasnya.

Selain itu, maklumat-maklumat yang memberi kebaikan khasnya tentang keperluan rakyat juga penting untuk parti dan wakil rakyat.

Maklumat berkenaan membolehkan wakil rakyat menyalurkan bantuan kepada rakyat dengan saluran yang betul.

Sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) boleh ditingkatkan menerusi aktiviti-aktiviti yang dianjurkan di bawah Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK).

Pengerusi-pengerusi yang dilantik boleh merekrut pengundi baru khasnya di kalangan wanita daripada aktiviti yang dianjurkan oleh mereka di bawah pengendalian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Kita perlu perluaskan peranan kita (mendaftarkan pemilih baru) ke kawasan-kawasan luar bandar. Ini merupakan usaha kita agar rakyat tahu tentang peranan kerajaan,” jelasnya.

Fatimah yang juga Ketua Biro Pendidikan PBB  berterima kasih atas kerja keras wanita PBB dalam pilihan raya negeri pada bulan April lalu yang membolehkan semua calon PBB menang di kerusi yang diwakili mereka.

“Wanita kita telah bekerja keras sebelum, semasa dan selepas pilihan raya. Kita mahu momentum ini diteruskan,” tegasnya.

Miri merupakan destinasi keempat program berkenaan dalam siri jelajah Biro Pendidikan yang telah diadakan di Lawas, Limbang dan Bintulu.

Sesi dialog bertujuan meningkatkan pengetahuan wanita tentang ekonomi, kebajikan dan pendidikan.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau dan ADUN Lambir Ripin Lamat.