PBDS Baru masih relevan kepada perjuangan rakyat, politik hari ini

1

KUCHING: Bekas Setiausaha Agung Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Wilfred Gomez Malong percaya penubuhan PBDS Baru kekal relevan kepada perjuangan rakyat dan politik hari ini.

Beliau yang dihubungi semalam berkata perpaduan Dayak di bawah satu  parti masih relevan kerana pembuat dasar (kerajaan sekarang) perlu membiasakan diri dengan sensitiviti dan keperluan komuniti itu khasnya.

“Hanya Dayak memahami masalahnya. Bagi memahami keperluan penduduk asal di sini, ia perlu melibatkan sepenuhnya pengalaman rakyat.

“Apabila kita melihat organisasi gabungan kerajaan memerintah sekarang (Barisan Nasional), badan-badan politik yang menganggap diri sebagai parti Dayak hanya dilihat sebahagian daripada cawangan badan pentadbir ini.

“Pemimpin-pemimpin berkenaan tampaknya hanya bertindak mengikut garis panduan ditetapkan oleh pengerusi BN. Mereka tidak menggambarkan badan bebas Dayak,” tambah bekas peguam itu.

Menyentuh mengenai penangguhan keputusan pendaftaran PBDS Baru sejak Mac 2010, beliau berkata penubuhannnya adalah satu kelahiran semula buat organisasi itu.

Sementara itu, bekas exco Pemuda PBDS yang enggan namanya disiarkan berkata penangguhan pendaftaran organisasi itu menunjukkan wujudnya elemen ‘berat sebelah’ dalam proses meluluskan organisasi politik.

Beliau turut mempersoalkan insiden beberapa parti politik boleh mendaftar dan diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) dengan segera sementara parti-parti baru yang membawa perkataan ‘Dayak’ nampaknya sangat susah untuk mendaftar.

Mengenai sebab PBDS digugurkan pendaftarannya pada 2004, beliau berkata: “Benarkah ada alasan kukuh untuk pendaftaran PBDS digugurkan?

“Mengambil kira konflik dalaman yang lebih serius berlaku dalam parti politik lain, peliknya tiada tindakan seumpama itu dikenakan oleh pihak berkuasa,” ujarnya.